Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Shafei Abdullah (dua dari kiri), Presiden Karyawan Freddie Farnandez (kiri) dan sebahagian artis pada majlis pelancaran karnival KLXTravaganza Kuala Lumpur di Taman Danau Kota, baru-baru ini.
Memasuki penganjuran buat kali ketiga, karnival KLXtravaganza kini diteruskan lagi seiring dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini (esok).
Bakal berlangsung meriah selama sehari bermula pukul 7.30 pagi hingga 11.30 malam di Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, karnival KLXtravaganza yang bertemakan Negaraku Malaysia ini turut dihadiri kira-kira 100 barisan artis popular negara.
Antaranya ialah Datuk Yusni Hamid, Sufian Suhaimi, Saleem, Zarul Umbrella, Nabila Razali, Siti Saerah, Drama Band dan Roslan Shah.
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez berkata, pemilihan Taman Danau Kota sebagai lokasi untuk siri ketiga program ini adalah kerana kedudukannya yang strategik, terletak berhampiran pusat beli-belah Setapak Sentral dan Uptown Danau Kota.
“Pemilihan lokasi karnival kali ini juga dibuat bersebelahan dengan kem askar iaitu Kem Wardieburn. Ia diadakan khas bertujuan untuk menghargai pihak tentera yang banyak berjasa kepada negara.
“Disebabkan kedudukannya yang strategik, jadi kami menjangkakan kehadiran seramai 20,000 pengunjung pada hari karnival berlangsung,” ujarnya yang ditemui ketika sidang akhbar karnival KLXtravaganza di Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Freddie, selain dapat menyaksikan barisan artis yang akan membawakan suntikan semangat patriotik melalui persembahan mereka, pengunjung juga dapat membeli-belah di gerai jualan artis.
Bukan itu sahaja, pelbagai aktiviti menarik juga telah dirancang istimewa untuk pengunjung antaranya persembahan kebudayaan, pertandingan bola jaring bersama antara artis, sesi karaoke dan klinik muzik.
Kemudahan
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr. Mohd. Shafei Abdullah berkata, pihaknya akan menyediakan kemudahan pengangkutan bas secara percuma kepada penduduk berdekatan yang ingin ke karnival berkenaan.
“Tiga buah bas akan disediakan bermula di kawasan Seksyen 1, rumah pangsa Taman Melawati dan rumah pangsa Danau Kota.
“Diharapkan dengan adanya kemudahan ini dapat menarik lebih ramai pengunjung untuk hadir sama-sama memeriahkan karnival yang kita adakan buat mereka,” katanya.
Karnival KLXtravaganza merupakan program anjuran Persatuan Karyawan Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan kerjasama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).
Terdahulu, KLXtravaganza pernah diadakan di pekarangan pusat beli-belah Wangsa Walk dan Taman Tasik Permasuri, Cheras.