Amir Jahari tetap ingat memori gelandangan


Penyanyi dan komposer Amir Jahari, 25, akui pernah menjadi gelandangan selama setahun sebelum dan selepas menyertai program realiti, Akademi Fantasia musim ke-9 (AF9) pada 2011.

Perkara itu diketahui umum apabila didedahkan Datuk Aznil Nawawi di pentas AF Megastar Homecoming minggu pertama Ahad lalu, berhubung kehidupan gelandangan pernah dilalui Amir.

Pendedahan itu menarik perhatian ramai gara-gara enggan pulang ke kampung halaman di Kuching, Sarawak selepas digugurkan daripada AF9 yang memaksanya menjalani kehidupan sebagai gelandangan.

Pengalaman hidup manis dalam kepahitan, memberikan ilham kepada Amir untuk menghasilkan karya indah, Aku Juga Manusia yang dipersembahkan pada konsert AF Megastar Homecoming.

"Apa yang diperkatakan Pak Nil (Aznil Nawawi) di konsert AF Megastar Homecoming Ahad lalu, memang benar.

"Saya pernah jadi gelandangan, bermalam di rumah wakaf dan surau berdekatan Bukit Damansara selama setahun sebelum dan selepas menyertai AF9. Saya tidak mampu membayar sewa bilik ketika itu.

"Saya menjalani kehidupan gelandangan selama tujuh bulan selepas digugurkan dari AF pada usia 19 tahun dan masih menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

"Untuk tidak menyusahkan ibu bapa dan keluarga di Kuching, saya mencari wang saku dengan menjadi pemuzik jalanan di sekitar Kuala Lumpur termasuk Pasar Seni dan kawasan Bukit Bintang," katanya.

Amir keberatan pada mulanya berkongsi kisah dukanya kerana enggan disalah erti oleh peminat yang mungkin beranggapan dia cuba meraih simpati apabila melakukan pendedahan itu.

Namun anak keempat dari enam beradik ini diyakinkan kisah hidupnya dapat memberi inspirasi kepada anak muda untuk berjaya.

Mengimbau rutin hariannya sebagai gelandangan dan pemuzik jalanan, bermula jam 5 petang hingga jam 5 pagi adalah waktu untuknya 'busking' di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur.

"Saya cuma tidur selama tiga jam sahaja sebelum bangun untuk ke kelas. Keluarga tidak tahu perkara ini dan pernah tunang (kini isteri) menyuruh dia berhenti kerana melihat kepayahan yang dilalui.

"Mengapa saya tidak pernah membesarkan perkara ini kerana saya tidak mahu membina nama dalam industri muzik atas dasar simpati atau kesian, hanya mahu orang kenal melalui hasil seni," katanya.

Cerita Amir menjadi salah satu kisah inspirasi sekaligus mencetuskan idea pembukaan 'Pit Stop Community Cafe', sebuah perniagaan kafe memberi makan kepada sekitar 300 warga gelandangan dan warga ibu kota kesempitan hidup.

Sebagai ucapan terima kasih kepada 'adiwira-adiwira jalanan€ membantu golongan itu, Amir mendedikasikan lagu Aku Juga Manusia buat mereka di konsert AF Megastar Homecoming.

"Ini putaran hidup. Ada ketika di berada di atas, ada kala di bawah”, katanya.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post