Alyah tidak pernah berputus asa berdoa untuk dikurniakan zuriat.
Biarpun sudah hampir lima tahun mendirikan rumah tangga dengan Datuk Ramli MS, Datin Alyah tidak pernah berhenti berdoa untuk dikurniakan zuriat sendiri.
Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 36, berkata dia akan memujuk hatinya dengan menonton video ceramah daripada Ustaz Kazim Elias yang membicarakan mengenai rezeki anak.
"Alhamdulillah, kehidupan rumah tangga saya berjalan dengan baik. Saya faham bila ada orang tanya tentang anak.
"Tapi saya tak pernah berputus asa berdoa untuk dikurniakan anak. Setiap kali nak pujuk hati saya akan tengok video ceramah Ustaz Kazim.
"Kata Ustaz, ada sebab kenapa Allah masih belum bagi rezeki anak kepada kami. Sejak kahwin sampai sekarang saya selalu berfikir positif," kata Alyah.
Menurut Alyah, ada yang ingin memberi anak angkat kepadanya namun dia mempunyai tanggungjawab yang perlu diutamakan.
“Ramai yang ingin beri anak angkat tetapi saya ada tanggungjawab yang banyak.
“Dua anak angkat juga sudah besar dan kini tinggal di asrama dan belajar di sekolah menengah,” katanya.
Alyah mempunyai dua orang anak angkat iaitu Mohd. Alif, 13, dan Naziatul Afiqah, 7.
Gandingan pertama Alyah dan Farawahida.
Dalam perkembangan nyanyian, Alyah kini muncul dengan lagu duet bersama penyanyi Farawahida berjudul Mengapa Harus Aku.
“Awal kemunculan dulu saya pernah berduet dengan penyanyi lelaki iaitu Riz (AF6) menerusi lagu Ku Pinjam Satu Bintang.
“Selepas itu, saya pasang impian berduet dengan penyanyi wanita pula dan mencari yang secocok dengan suara dan akhirnya saya memilih Farawahida,” ujarnya.
Sementara itu, pemilihan Farawahida adalah disebabkan penyanyi tersebut memilik suara yang berbeza daripadanya.
Malah, penyanyi lagu Sesal Separuh Nyawa ini membuat kajian mengenai Farawahida sebelum menawarkan lagu tersebut.
"Saya pilih Farawahida sebab dia memiliki suara yang berbeza daripada saya. Malah suara dia juga sesuai untuk berduet bersama.
"Sebelum itu saya kaji juga dia. Bukan nak kata kita ini bagus tapi nak tahu sesuai ke tidak. Dia ada kelaianan, jadi orang boleh tahu perbezaan suara kami," kata Alyah.