Aishah Azman Mahu berlakon dengan Nabila Huda


Lakonan hebat ditampilkan aktres Nabila Huda dalam filem Munafik berjaya memenangi hati pendatang baru dalam dunia lakonan, Aishah Azman hingga menjadikannya sebagai idola.

Malah Aishah tidak menafikan disebabkan filem Munafik membuatkan dia sukakan Nabila. Malah sejak itu juga apabila setiap kali drama lakonannya disiarkan dia akan pastikan tidak terlepas untuk menontonnya.

Mula menceburi dunia lakonan menerusi drama bersiri Namaku Bedah, Aishah menyifatkan Nabila sebagai aktres yang memiliki kekuatan dalam penghayatan apabila menjayakan sesebuah watak.

Katanya, sepanjang mengikuti perkembangan kerjaya seni anak penyanyi Amy Search itu dia belum pernah lagi melihat pelakon yang mula diperkenalkan menerusi filem Blok 404 itu membawakan watak sama.

“Sebelum itu saya beberapa kali menonton lakonan Nabila dalam telefilem mahupun drama bersiri. Cara dia menghayati watak pada saya sangat hebat.

“Saya menyifatkan Nabila sebagai pelakon yang sangat serius dengan kerjanya. Perkara itu boleh kita lihat sendiri pada sudut cara dia yang sangat menghayati watak sehingga persembahannya nampak sangat menonjol di TV mahupun layar lebar,” katanya.

Aishah yang kini sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Cinta Hati Batu juga kagum kerana melihat jarang sekali Nabila membawa watak sama atau pernah dilakonkannya sebelum ini.

Siswazah Diploma Lakonan dan Pengarahan Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu berkata, sebaik menempatkan diri dalam industri seni, dia menyimpan impian mahu berlakon di samping aktres diminatinya.

“Saya tidak kisah untuk digandingkan dengan Nabila walaupun dalam satu babak. Tapi kalau kami digandingkan bersama untuk membintangi watak penting lagi saya suka.

“Kalau kami digandingkan bagi menjayakan watak penting atau berpeluang bekerja di set dalam tempoh lama, saya mahu menggunakan peluang itu untuk menimba sebanyak mungkin ilmu daripada Nabila.

“Saya tahu Nabila memiliki pengalaman besar walaupun usianya masih muda kerana dia membabitkan diri dalam dunia lakonan sejak remaja lagi,” katanya.

Aishah juga akui dia tidak akan memilih watak andai ada yang mahu menggandingkannya dengan Nabila, tetapi mengharapkan ia mampu menonjolkan karakter pada sudut emosi.

“Saya nampak kekuatan lakonan Nabila terutama andai watak dilakonkan itu menonjolkan pada sudut sisi kemanusiaan. Contohnya seorang wanita yang berjuang untuk hidup. Mainan emosi dalamannya sangat kuat. Paling utama dia membawakan setiap watak dan perwatakan dengan ikhlas,” katanya.

Aishah bagaimanapun menjelaskan, sepanjang dia membabitkan diri dalam dunia lakonan, belum sekali pun berkesempatan bertentang mata dengan pelakon pujaannya.

“Saya belum lagi memperoleh peluang itu. Andai kami bertemu kelak, saya tidak tahu bagaimana hendak memberikan reaksi.

“Apa yang pasti, saya akan sebaik mungkin mendekatinya dan meluahkan bahawa saya peminat setia lakonannya,” katanya.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post