Usah diungkit lagi kontroversi yang pernah melanda dirinya sebelum ini.
Bagi pelakon Afiq Muiz, dia tidak mahu dibayangi episod hitam yang turut mencalar nama baiknya dalam bidang seni tanah air, enam tahun lalu.
“Terus terang, saya bukan melarikan diri daripada media seperti yang heboh diperkatakan ramai ketika ini.
“Sebenarnya, saya tidak ada masalah pun dengan pihak media. Cuma saya berkecil hati apabila ada pihak yang cuba membangkitkan lagi cerita hitam yang berlaku enam tahun lalu sedangkan saya sudah mulakan hidup baru,” katanya.
Afiq ditemui pada majlis malam gala tayangan filem lakonannya I’M Not A Terrorist arahan Arjin Uppal di GSC Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hadir sama, barisan bintang Bollywood dan tempatan iaitu Gulshan Grover, Farida Jalal dan Chacha Maembong.
Mengulas mengenai kehadiran ibunya, Hasliza Mohd pada malam gala filem I’M Not A Terrorist pula, kata Afiq, dia selesa ditemani ibunya pada majlis berkenaan.
“Saya bawa emak untuk menemani pada tayangan malam gala ini bukan untuk membuktikan apa-apa pun kerana hubungan dengannya memang sudah lama baik selepas kontroversi enam tahun lalu.
“Soal jodoh pula, saya hanya serahkan kepada ketentuan Allah SWT,” katanya.
Mengenai projek drama barunya, kata Afiq, selepas Menanti Februari, dia bergandingan semula dengan Nur Fathia menerusi drama terbaru Laluna yang masih dalam tempoh penggambaran.
Cabar diri bawa watak pemuda Kashmir
Watak Ummar, pemuda Kashmir dalam filem I’M Not A Terrorist turut mencabar kemampuan Afiq di layar perak.
Menurut Afiq, dia perlu bertutur dalam bahasa Hindi untuk melakonkan watak Ummar yang juga anak Zabira (lakonan aktres veteran Farida Jalal) dalam filem itu.
“Saya juga mengikuti kelas bahasa Hindi selama seminggu sebelum penggambaran dimulakan.
“Selain itu, saya juga cabar diri melakonkan babak aksi seperti terjun dari kereta tanpa bantuan pelakon lagak ngeri dalam filem ini,” katanya.
Diminta komen bekerjasama dengan bintang Bollywood Gulshan Grover dan Farida Jalal, Afiq berkata, dia menimba pengalaman sangat berharga berlakon dengan mereka.
“Saya juga bertuah dapat berlakon dengan Farida yang menjadi ibu Ummar dalam filem ini.
“Farida sangat profesional di lokasi penggambaran dan tidak menganggap saya orang luar.
“Filem ini juga membabitkan penggambaran 44 hari di Kashmir, India yang cuacanya sejuk dan pemandangan sangat indah,” katanya
Filem I’M Not A Terrorist terbitan White Merpati Entertainment akan ditayangkan di seluruh tanah air bermula 5 Oktober ini.