Sangkaan awal tiada penyingkiran bagi konsert pertama AF Megastar 2017 untuk minggu ketiga itu nyata tersasar dari landasan.
Lazimnya, pihak produksi Astro sering menganjurkan program realiti yang mana tidak ada peserta yang akan disingkirkan bagi memberi peluang untuk mereka menonjolkan taring masing-masing.
Namun, hujung minggu lalu, menyaksikan ‘taring’ Adira Suhaimi dan Azhar Osman sudah tidak dapat diselamatkan dan harus akur dengan keputusan untuk menjadi dua peserta pertama meninggalkan pertandingan itu.
Selaku juri profesional, Syafinaz Selamat memberitahu, kedua-dua penyanyi itu gagal menepati piawaian dalam persembahan yang bertemakan Throwback Akademi Fantasia.
Penilaian pemarkahan yang dilakukan oleh barisan juri profesional menilai dari segi cara penyampaian persembahan yang disampaikan dan selain Syafinaz, Datuk Ramli MS dan Datuk Norman Abd. Halim turut sependapat Adira dan Azhar agak lemah pada malam itu.
“Pemarkahan kami adalah berdasarkan persembahan mereka. Walaupun mereka seorang penyanyi tetapi tugas sebagai juri memerlukan kami untuk mengkritik apa yang lemah.
“Secara keseluruhan apa yang boleh saya katakan, persembahan mereka tidak berjaya menarik perhatian juri dan tidak menepati piawaian,” kata Syafinaz dalam sidang akhbar sebaik sahaja berakhir konsert mingguan AF Megastar.
Namun, jelas Syafinaz lagi, penyingkiran penyanyi itu tidak bererti mereka tidak bagus tetapi kesalahan dari segi pemilihan lagu serta cara persembahan yang tidak bertenaga menjadi faktor utama.
“Adira dan Azhar adalah penyanyi yang baik dan ia tak boleh dinafikan cuma kesilapan dan kegagalan mereka menginterpretasikan lagu kepada penonton menjadi penyebab mereka gagal.
“Kita perlu kritikal dalam memberi penjurian dan mereka sudah diberi peluang sewaktu konsert Homecoming sebelum jadi kali ini kami kena lihat dari aspek lain juga.
“Adira dilihat tidak komited dalam membawakan lagu itu manakala Azhar tidak menonjolkan karakter di atas pentas,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Datuk Ramli MS pula berpendapat, sesetengah peserta terlalu ingin mencuba menyampaikan lagu hingga hilang keaslian muzik terbabit yang pada akhirnya hanya mencacatkan karya itu.
“Ada peserta yang terlalu mencuba hingga menampilkan kelainan sehingga orang dah tak kenal lagu itu. Pujian patut diberikan kepada mereka sebab ada kreativiti tetapi sudah ditukar sampai pada tahap yang peserta itu sendiri tidak boleh nyanyi.
“Bila susunan muzik telah ditukar, dah tentu ia akan jadi lain tetapi orang luar lebih sebati dengan lagu asal. Kami selaku orang seni, akan faham cuma benda itu sepatutnya jangan terlalu maksimal,” tuturnya.
Pada malam konsert mingguan itu juga, Syamel diumumkan sebagai peserta dengan persembahan terbaik hasil undian peminat, sekali gus membolehkannya memenangi kad baucer membeli-belah dari GoShop bernilai RM2,000 serta sebuah trofi.
Selain Syamel, Marsha, Bob, Idayu, Shahir, Ewal, Sufi, Indah, Amir dan Amir Jahari akan meneruskan misi merebut wang tunai bernilai RM100,000 pada minggu hadapan dengan bertemakan Rock.
Kesemua peserta diadili berdasarkan sistem pemarkahan 60 peratus oleh juri profesional manakala bakinya lagi ditentukan berdasarkan undian penonton atau AFUNDI menerusi kiriman sistem pesanan ringkas dan secara online di laman sesawang www.afmegastar.com.my.
Adira nafi ada masalah peribadi
JELAS terpancar kekecewaan Adira sewaktu diumumkan tersingkir namun adat pertandingan pasti akan ada yang gagal justeru dia enggan menoleh kebelakangan lagi.
Menjelaskan persembahannya pada malam itu dikatakan ‘asal boleh’ sahaja, Adira menafikan pandangan sedemikian, sebaliknya, menegaskan dia bersungguh-sungguh membawakan lagu Ikut Rentakku nyanyian asal Jaclyn Victor.
“Saya sudah berikan yang terbaik dan mungkin orang tak nampak usaha yang dilakukan di belakang pentas.
“Penonton hanya tahu melihat di kaca televisyen sahaja tanpa meneliti terlebih dahulu susah payah yang telah saya buat sebelum hari pertandingan,” ungkapnya lagi.
Tambah Adira lagi, masalah menghafal lirik lagu dan terlupa lirik ketika di pentas turut mengganggu fokusnya.
Sehubungan itu, Adira yang baru enam bulan melahirkan anak sulungnya memohon maaf kepada peminat-peminatnya kerana sejak dari dulu lagi dia mempunyai masalah untuk menghafal lirik lagu.
“Saya sudah cuba sampaikan dengan baik tetapi masih ada kesilapan. Tak perlu dibandingkan dan saya anggap tak ada rezeki sahaja,” katanya.
Adira turut menolak masalah peribadi yang sedang dilaluinya ketika ini membuatkan dia seperti tidak bersemangat.
“Bukan sebab hal peribadi yang mengganggu tumpuan dan saya akui sedikit kecewa kerana tersingkir awal.
“Tetapi tak rugi masuk pertandingan ini dan jauh sekali saya nak rasa terkilan,” ujarnya positif.
Azhar sudah duga akan tersingkir
SEAKAN sudah dapat menduga gerak hatinya, Azhar memberitahu, penyingkirannya itu sedikit pun tidak mengejutkannya.
Malah beberapa hari sebelum konsert bermula, penyanyi itu sudah dapat menjangka dia menjadi peserta terawal yang terkeluar pada malam itu.
Bersetuju dengan komen Norman yang mengatakan dia agak kekok sewaktu di atas pentas, Azhar tidak menafikan yang dia masih lagi menyesuaikan diri untuk menyanyi solo.
“Jujurnya saya masih kekok berdiri di atas pentas secara solo. Memang memerlukan masa yang lama untuk sesuaikan diri.
“Selain itu faktor gementar antara punca saya banyak melakukan kesilapan dalam persembahan. Saya dah dapat menduga akan terkeluar dan sewaktu nama diumumkan memang saya dah bersedia,” jelasnya.
Pemilihan lagu yang salah dan tidak kena dengan jiwanya juga menyumbang kepada peratus pemarkahan paling rendah iaitu 17 peratus.
“Sebenarnya saya ada senaraikan empat buah lagu tetapi lagu Gerimis Senja daripada kumpulan Visa menjadi pilihan.
“Saya sendiri tidak tahu kenapa lagu itu terpilih walhal ia dibuat atas pemilihan sendiri (ketawa).
“Macam Norman kata, lagu itu tak kena dengan jiwa saya. Kesilapan itu datang daripada diri saya sendiri, memang tak boleh nak kata apa lah.
“Kecewa itu tentulah ada sebab tak sempat nak tonjolkan lebih banyak lagi bakat yang ada,” tuturnya.
Disoal tanya tentang perancangannya selepas ini, Azhar akan kembali aktif dalam bidang lakonan selain akan merakamkan single terbaharu tidak lama lagi.