Ibu Adam, Khadijah Abdul Rahman menyarungkan cincin pertunangan ke jari manis Yuna.
PENYANYI Yuna selamat melangsungkan pertunangan dengan jejaka pilihannya, Adam Yusof Sinclair di kediaman ibu bapanya di Shah Alam, hari ini.
Menurut Yuna, pertunangan itu adalah momen manis buatnya kerana ia langkah pertama untuk hidup bersama.
Katanya, beliau sangat bersyukur berjumpa dengan seseorang yang sangat penyayang dan baik hati seperti Adam.
"Percaturan ALLAH itu memang sungguh indah, Adam merupakan rakan karib saya, dan sepanjang perkenalan kami, dia telah mewarnai hidup saya dan buat saya senyum dan ketawa, saya gembira akan bergelar isteri kepadanya satu hari nanti, Insya-ALLAH," katanya.
Majlis pertunangan pasangan itu hanya dihadiri keluarga terdekat dan rakan karib.
"Syukur Alhamdulillah, majlis pertunangan kami berjalan dengan lancar. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat-peminat yang selalu mendoakan kebahagiaan saya.
"Berkat doa mereka, hari ini saya selamat bertunang dengan Adam Sinclair," kata Yuna dalam satu kenyataan, hari ini.
Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zarai'ai mula mengenali Adam Sinclair, seorang direktor di set rakaman untuk iklan televisyen pada awal 2013.
Pasangan itu semakin rapat pada penghujung 2015 dan mula merancang dengan lebih serius untuk berkahwin. Upacara merisik diadakan pada 27 March lalu.