Wan Ariff maafkan Afifah Nasir


Kekasih Afifah Nasir, Wan Ariff menafikan dakwaan netizen bahawa dia seorang lelaki dayus kerana tindakan mempertahankan pelakon berkenaan dalam kontroversi rumah tangga pelakon Aliff Aziz dan isterinya, Bella Astillah.

Wan Ariff berkata, sejak kejadian itu berlaku dia sudah dimaklumkan oleh Afifah. Dia juga mempercayai Afifah yang dikenalinya lebih empat tahun.

"Saya tahu apa yang berlaku sejak awal lagi. Semuanya sudah dijelaskan Afifah terlebih awal kenapa dia perlu bertindak sedemikian. Dia menjadi mangsa keadaan, sebab itu saya berani keluar kenyataan di Instagram bahawa saya memberi sokongan kepadanya.

"Berkenaan isu pegang tangan, Afifah sudah pun minta maaf pada saya kerana membenarkan Aliff memegang tangannya dan saya sudah maafkan," katanya.

Menurut Wan, dia memohon supaya masyarakat tidak terus mengecam teman wanitanya itu, sebaliknya memahami situasi sebenar yang terpaksa dilalui pelakon itu.

"Saya tidak boleh paksa semua orang untuk memaafkannya, tapi saya cuma berharap supaya orang ramai memahami situasi yang berlaku ini. Jangan mudah menghukum seseorang itu tanpa usul periksa.

"Dia menjadi mangsa keadaan demi menyenangkan proses penggambaran yang sering kali tertangguh," katanya.

Ariff berkata, dia bercadang untuk menemani Afifah menghabiskan baki penggambaran drama terbabit.

"Drama terbabit berbaki tiga hari lagi, esok Afifah akan ke lokasi bersama pengawal peribadi bagi memastikan keselamatannya dan lusa mungkin saya juga turut menemaninya.

"Saya sentiasa menasihati Afifah untuk berhati-hati supaya dia tidak dipermainkan. Walaupun ujian ini berat untuk dipikul, saya tetap akan menyokong kerjayanya kerana percaya dia seorang wanita yang kuat dan profesional," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post