Kenyataan "suami sanggup langgar lampu merah untuk 'bersama' isteri" dalam sebuah video seminar yang disampaikan seorang ustaz telah mencetuskan kekecohan di media sosial.
Rakaman video seminar psikologi bagi menakluk hati pasangan itu telah dirakamkan pada 2009 tetapi hanya tular di media sosial baru-baru ini.
Selain kenyataan tersebut, netizen turut tidak berpuas hati apabila penceramah berkenaan, dalam ceramahnya menggambarkan kaum wanita sebagai 'tidak cerdik', malah didakwa menyamakan kaum Hawa dengan 'anak gorilla'.
Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM, Profesor Madya Dr Mohd Nor Mamat berkata beliau tidak menyangka apabila perumpamaan yang disampaikan sebagai gurauan ketika seminar itu telah disalah tafsir dan mengelirukan.
"Dalam video yang diviralkan itu saya bagi contoh, fitrah suami suka bila isteri pakai cantik-cantik di rumah, barulah suami dari ofis tak sabar nak balik rumah untuk bersama dengan isteri, silap-silap lampu isyarat merah pun suami langgar.
"Saya tak sangka dalam gurauan saya tu ada yang salah tafsir dia ingat 'lampu merah' tu 'bendera merah' wanita datang haid, dia bagi teguran kalau tak sabar pun, janganlah sampai langgar lampu merah, haram dan dilaknat Allah, padahal saya langsung tak terfikir macam dia fikir," katanya ketika dihubungi mStar Online.
Menurut Mohd Nor, beliau mengakui dalam zaman digital ini, isu netizen tersalah membuat tafsiran terhadap posting-posting di media sosial sering berlaku.
Beliau menambah, ada juga netizen yang pantas meninggalkan komen tanpa habis membaca posting atau mendengar keseluruhan intipati video yang mereka tonton.
Katanya, contoh terdekat dapat dilihat dalam video bertajuk 'kenapa wanita tak cerdik?' yang tular itu, yang mana ia boleh mengundang kemarahan kaum wanita yang hanya membaca tajuknya tanpa melihat dan cuma memahami mesej yang ingin disampaikan.
"Paling penting dengar dan faham betul-betul, kadang-kadang tu mereka tak baca atau dengar sampai habis pun sebenarnya.
"Tapi saya tidak mengambilnya sebagai perkara besar sebab biasalah tu dalam ramai-ramai yang suka mesti ada yang sebaliknya," katanya.
Mengulas lanjut, penceramah bebas itu berkata, beliau sering menggunakan pendekatan yang lebih ringan diselang-seli dengan gurauan ketika menyampaikan ilmu dalam bentuk seminar.
Dalam konteks ini, beliau berkata, ada individu yang suka mencari ilmu secara santai berselang gurauan dan ada juga yang mahu belajar secara serius dan formal.
Justeru katanya, beliau akan menggunakan pendekatan yang sesuai berdasarkan kumpulan pendengar.
"Kalau cerita dalam seminar, pendekatannya sesuai untuk seminarlah, orang yang datang sendiri jumpa saya untuk selesai masalah mereka, saya tak nasihatlah cara seminar, saya juga tak nasihat mereka cara khutbah," katanya.
Mohd Nor berkata, beliau bagaimanapun amat menghargai komen-komen yang meminta beliau sentiasa berhati-hati ketika menyampaikan ceramah.
"Saya berterima kasih dengan komen-komen yang beritahu supaya saya lebih hati-hati dengan keadaan sekeliling dan keperluan pendekatan sesuai," katanya.
Ditanya mengapakah video lama tersebut ditularkan semula selepas lapan tahun, Mohd Nor berkata ia bukanlah sesuatu yang pelik.
Katanya, ia mungkin dikongsi semula disebabkan faktor tajuk seminar psikologi untuk pasangan suami isteri itu yang sesuai sepanjang zaman.