Ungku Ismail jaga batasan lakonan


SEBAGAI usaha mencipta keserasian, Ungku Ismail Aziz berpendapat pasangan pelakon perlu saling bekerjasama dan memahami watak masing-masing.

Bagi pelakon ini, keserasian wujud menerusi gabungan bakat sesorang pelakon dalam sesebuah lakonan.

“Sebab in real life, kita tak boleh nampak couple itu serasi hanya apabila mereka melepak atau bergambar bersama.

“Tapi, sebenarnya, perkataan chemistry itu sendiri membawa makna yang lebih besar,” katanya kepada Media Hiburan.

Pelakon yang popular menerusi drama bersiri Teman Lelaki Upahan ini juga menekankan pendirian untuk tidak bersentuhan dengan gandingannya.

Bagaimanapun, selebriti berusia 32 tahun ini mengakui terpaksa melanggar prinsip itu demi menjayakan watak Harris Hamzah dalam drama bersiri, Dendam Aurora di samping aktres, Nabila Huda.


Bagi Ungku Aziz, kalau boleh dia akan cuba mengelak untuk bersentuhan kerana kemesraan boleh ditunjukkan dengan cara lain.

“Tapi, selepas baca dan kaji skrip drama Dendam Aurora, saya dapati ia perlu supaya membantu untuk memudahkan lakonan itu. Ini kerana, versi asalnya, lakonan lebih bersifat intim. Sebab itu, saya terpaksa lakukannya, jika tak, jalan cerita akan lari daripada cerita asalnya,” katanya.

Pun begitu, pelakon drama Terlanjur Mencintaimu dan Suami Tanpa Cinta ini sangat menitikberatkan batas lakonannya demi menjaga sensitiviti masyarakat.

Katanya, dalam drama itu, wataknya sebagai seorang yang liberal dan jalan ceritanya juga perlu untuk adegan bersentuhan.

“Lagipun, kami sangat kesuntukan masa untuk mengolah semula skrip asal, jadi saya terpaksa ikut apa yang dimahukan pengarah.

“Tapi, sebagai orang Islam, saya tahu ada batas-batasnya. Adegan intim saya dan Nabila masih ada batasannya serta sesuai untuk tontonan masyarakat. Lagipun, saya sudah pun meminta izin suami Nabila untuk melakukan aksi tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Ungku Ismail nekad akan terus mengekalkan prinsipnya itu sekiranya bertindak sebagai pengarah.

“Sebelum ini, saya mengarah telefilem, Duit Kahwin. Dalam drama itu tiada langsung adegan bersentuhan.

“Tapi, kalau saya berlakon di bawah arahan pengarah lain dan ada babak sebegitu dan ia perlu untuk jalan cerita itu, saya akan lakukannya,” katanya.

Drama 100 episod ini diadaptasi daripada telenovela Tuscan Passion ini diarahkan oleh Feroz Kader dan Riza Baharudin.

Ia turut dilakonkan oleh barisan artis seperti Anzalna Nasir, Shah Iskandar, Datuk Eizlan Yusof, Fezrul Khan dan Dian P Ramlee.

Dendam Aurora mula bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang di Astro Prima dan Maya HD bermula 25 Julai lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post