Tania Nadira Hudson Kembalikan kepercayaan


Biarpun sudah hampir 10 tahun berkecimpung di dalam industri seni, namun populariti pelakon Tania Nadira Hudson masih dikira belum cukup kuat untuk dikenali.

Wajahnya persis Natasha Hudson, 34, yang juga kakaknya. Mungkin atas faktor itu ada antara peminat yang mengenali wanita berusia 32 tahun ini.

Bagaimanapun ujar Tania, dia tidak berkecil hati jika kelibatnya di dalam industri seni kurang dikenali dan namanya tenggelam timbul.

"Walaupun sudah sihat sepenuhnya daripada penyakit, tapi karier saya agak malap selepas itu dan saya banyak terlibat dengan aktiviti modeling.

"Hanya sejak 2015, barulah saya benar-benar kembali aktif. Jadi saya tak salahkan sesiapa bila orang tak kenal saya," ujarnya ketika ditemui pada malam gala filem Abang Long Fadil 2, kelmarin.

Tambah Tania, dia kini giat mengembalikan kepercayaan penerbit dan pengarah drama serta filem selepas kehilangannya sebelum ini.

Tania juga sedar, penerbit dan pengarah mungkin kurang mempercayainya kerana namanya tidak berada 'di atas' dan 'hilang' sebaik saja namanya mula dikenali.

Justeru, kata pelakon ini, inilah masa sesuai mengembalikan kepercayaan pengarah dan penerbit sementelah dia juga tidak kisah bermula dari bawah.

"Saya kira, ini juga masa untuk saya belajar semula dan tingkatkan mutu lakonan saya," jelasnya.

Ditanya adakah dia melihat kontroversi itu dapat membantu menaikkan nama selebriti terbabit, Tania tidak menolak cara itu sebagai salah satu jalannya.

"Kontroversi ini ada dua, ada yang baik dan ada yang buruk. Kadangkala baik dan buruk itu boleh menaikkan nama seseorang artis itu.Tapi saya sendiri tidaklah rasa perlu kontroversi untuk dikenali.

"Apatah lagi zaman sekarang ni, zaman teknologi, kita ada sosial media. Dari situ dapat membantu mendekatkan lagi diri dengan peminat," katanya yang turut berpendapat, usaha penting bagi menaikkan nama sendiri di persada industri.


Teruja dengan Yana

Dalam pada itu, berkongsi filem terbaru lakonannya, Abang Long Fadil 2, Tania berkata, dia membawakan watak Yana, seorang wartawan penyiaran.

"Bekerjasama dengan pelakon yang majoritinya lelaki dan pelawak juga memberi pengalaman baru kepada saya. Memang best dan saya pun kadang kala tak dapat tahan ketawa, lebih-lebih lagi bila ada babak dengan Zizan.

"Cabaran utama berlakon filem ini apabila dipasang alat seperti mercun untuk babak ditembak. Memang agak takut sebab saya tak pernah melaluinya," cerita Tania.

Kata Tania, sepanjang penggambaran, dia tercalar dan lebam di badan tetapi tidak serius.

Tania mengakui tidak sabar menanti tayangan filem itu dan bersedia menerima kritikan.

"Saya sudah buat yang terbaik, lagipun ini kira lakonan pertama selepas saya lama bercuti.

"Saya juga ada buat research untuk watak sebagai broadcaster, tapi jangan fikir bila kita tahu berlakon, kita boleh jadi penyampai berita yang baik.

"Bagi saya ia dua cabang berbeza dan tugas pengacara atau penyampai berita ini sangat mencabar," akhirinya.

Post a Comment

Previous Post Next Post