Sufie Rashid Letak standard setaraf Jamal Abdillah


Pada usia 26 tahun, penyanyi Sufie Rashid tidak pernah menyangka bakal berkongsi pentas dengan penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah dalam Konsert Sehati Sejiwa di Singapura, Sabtu ini.

Selain Jamal, konsert terbabit juga bakal disertai penyanyi bersuara hebat, Ezad Lazim.

Sufie yang juga juara Akademi Fantasia (AF) pada 2015 berkata, apabila ditawarkan untuk menjadi salah seorang penyanyi di konsert berkenaan, dia terus menyahut cabaran itu.

“Sebelum ini memang pernah membuat persembahan bersama Jamal. Saya tak nafikan, untuk berduet dengan beliau adalah sesuatu yang sangat mencabar lebih-lebih lagi buat penyanyi baru seperti saya.

“Saya perlu meletakkan ‘standard’ dan kualiti persembahan saya setaraf dengannya. Kalau lemah, tentunya ramai yang akan melemparkan kecaman,” katanya.

Dalam konsert itu nanti, Sufie akan menyampaikan beberapa lagu termasuk berduet dengan Jamal menerusi lagu Ghazal Untuk Rabiah.

“Lagu itu tidak mudah kerana saya perlu betul-betul menghayatinya dari segi lirik dan penyampaian,” katanya.

Masalah dengan ibu hampir selesai

Ditanya mengenai isu ibunya yang mengeluarkan kenyataan kurang berpuas hati terhadapnya baru-baru ini, Sufie memaklumkan perkara itu hampir selesai.

“Walaupun belum 100 peratus selesai, apa yang boleh saya katakan ia sudah reda. Biar dia tenang sedikit. Apabila dia tenang, lebih mudah untuk kami berbincang,” katanya.

Ditanya sama ada dia tidak kisah namanya diangkat dek kontroversi, Sufie berkata, itu bukanlah kontroversi yang sengaja dicipta.

“Sebagai artis, kita tidak boleh mengelak daripada tempias populariti dan apa yang berlaku. Ia bukanlah kontroversi yang saya sengajakan.

“Ia juga bukan kontroversi yang saya sendiri puncanya, tetapi berkaitan dengan orang sekeliling saya. Saya tidak boleh salahkan pihak media atau sesiapa, kerana ibu saya sendiri yang berkongsi mengenainya di laman sosial,” katanya.

Menurutnya, kontroversi itu ada kesan baik dan buruknya kepada seseorang artis.

“Saya tak anggap kontroversi itu menjadi aspek yang membantu atau menjatuhkan kerjaya seseorang artis. Ia ibarat orang berkongsi mengenai perkembangan.

“Kalau tak ada kontroversi pun sebenarnya bagus, tetapi, adakah orang akan mengambil kisah mengenai kita kalau terlalu bersih dari kontroversi,” katanya.

Terbaru, Sufie bakal berentap dalam program AF Megastar yang akan bermula tidak lama lagi. Selain itu, dia juga kini sedang mempersiapkan diri untuk lagu barunya yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post