Shaa mohon maaf kerana video klip rasmi Pertama Kali agak lambat dikeluarkan dari yang sepatutnya dijadualkan.
Penyanyi yang dikenali menerusi lagu Pertama Kali, Shaa mengakui dalam keterujaan dia menunggu klip video rasminya yang akan dilancarkan pada Jumaat depan, jauh di sudut hati dia berasa sangat malu!
Shaa, 22, ketika dihubungi berkata, ini adalah pengalaman pertama memerlukan dia berlakon dan berasa janggal untuk melihat dirinya menerusi klip video tersebut.
"Memang Shaa teruja nak tunggu ia dilancarkan, tetapi dalam waktu yang sama Shaa sebenarnya malu nak tengok diri sendiri dalam video klip tu.
"Entahlah, mungkin sisi peribadi Shaa sendiri yang lasak berbeza dengan apa yang cuba Shaa tampilkan di dalam video klip tersebut membuatkan Shaa seperti tengok orang lain," katanya kepada mStar Online.
Antara babak yang dimuatkan di dalam video klip rasmi Pertama Kali.
Dalam pada itu, dia yang juga vokalis Darul Aman Buskers memohon maaf kepada peminat atas kelewatan tersiarnya muzik video tersebut.
Seperti yang dijanjikan, ia sepatutnya sudah menemui peminat pada awal Ogos lalu.
Tambah pemilik nama Juzratul Nisha Johari ini lagi, dia percaya pihak NOVA Music mempunyai strategi dan perancangan tertentu kenapa ia agak lewat dilancarkan.
Shaa - Pertama Kali Teaser
"Di sini, Shaa ingin mohon maaf kepada semua peminat kerana buat ramai tertunggu-tunggu dan Shaa percaya ada sebab kenapa pihak NOVA Music menangguhkan pada satu tempoh lain.
"Justeru, suka Shaa ingatkan sekali lagi jangan lupa save the date pada 18 Ogos depan (Jumaat) pukul 9.00 malam kerana secara rasminya video klip Pertama Kali akan dimuatnaik ke laman Youtube!" katanya.
NOVA Music pada Jumaat turut memuatnaik sebuah video teaser Pertama Kali berdurasi 28 saat untuk tontonan peminat.