Tindakan penyanyi Ireland, Sinead O’Connor bercerita mengenai penyakit mental yang dihidapinya menerusi rakaman video di Facebook, Khamis lalu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat dan rakan artis.
Berikutan itu, ada pihak memuat naik status di Facebook penyanyi popular menerusi lagu Nothing Compares To You itu kelmarin mengesahkan O’Connor dalam keadaan selamat dan bukan berniat bunuh diri.
Dalam video berdurasi 12 minit itu, O’Connor menangis sambil mengadu dibuang keluarganya selepas dia didapati mengalami masalah mental.
“Orang yang menderita penyakit mental paling lemah di dunia. Anda perlu menjaga kami kerana kami tidak seperti orang lain,” katanya.
Penyanyi berusia 50 tahun itu turut mengakui berniat membunuh diri dan berasakan dirinya seolah-olah dihukum kerana penyakitnya.
“Tiba-tiba insan yang sepatutnya memberi kasih sayang dan menjaga anda memberi layanan teruk,” katanya.
Menurut O’Connor, satu-satunya insan yang memberi sokongan kepadanya adalah pakar psikiatri dan doktor.
Ini bukan kali pertama penyanyi terbabit memuat naik status mencemaskan di media sosial dan pada 2015, dia mendedahkan mengambil dos ubat berlebihan berikutan perebutan hak penjagaan anak bongsunya dengan pemuzik Donal Lunny.
Tahun lalu, O’Connor dilaporkan hilang di Chicago, Amerika Syarikat selepas gagal pulang, namun ditemui selamat oleh polis sehari kemudian.
Nama O’Connor mula dikenali di seluruh dunia pada 1990 selepas membawakan lagu Nothing Compares To You yang pada awalnya dirakam penyanyi Prince.
Dua tahun kemudian, O’Connor mencetus kontroversi besar apabila mengoyak gambar bekas pemimpin gereja Katolik dunia, Pope John Paul II ketika membuat persembahan di program Saturday Night Live.