Perkara itu menganggu kehidupan harian Sam dan perniagaannya.
Pelakon Shaheizy Sam akan menghantar peguam dan ejen cukai yang dilantik pada Selasa ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menyelasaikan masalah muflis yang dihadapinya.
Menurut pelakon filem Polis Evo ini, dia mahu perkara itu diselesaikan secepat mungkin bagi mengelakkan masalah lebih teruk sehingga menjejaskan perniagaan yang sedang dijalankannya.
"Saya akan hantar peguam dan ejen cukai yang dilantik untuk selesaikan masalah ini di pejabat LHDN pada hari ini (Selasa). Biarlah mereka yang bertanggungjawab menguruskan hal cukai saya dan selesaikan segala-galanya. Saya ada banyak perkara lain yang nak difikirkan.
"Tapi, Insya-Allah kalau saya tak ada kerja yang perlu dilakukan ketika itu, mungkin saya juga akan ikut sekali," kata Sam ketika dihubungi mStar Online.
Dalam pada itu, Sam memberitahu isu tersebut bukan sahaja menganggu kehidupan hariannya, malah perniagaan yang diuruskannya juga turut menerima kesan.
Notis muflis di ruang sebuah akhbar tempatan yang memaparkan info peribadi Sam.
"Isu ini bukan sahaja menganggu kehidupan harian saya tetapi telah memberi kesan kepada perniagaan yang sedang dijalankan. Apabila pihak lain membaca notis tersebut di surat khabar, sudah pasti mereka hanya percaya apa yang mereka baca.
"Mereka akan fikir yang saya sudah muflis dan tidak mahu menjalankan urus niaga dengan saya lagi. Sedangkan masalah bankrap itu masih jauh lagi," ujarnya.
Isu muflis Shaheizy Sam mula menjadi perhatian selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bertindak mengiklankan notis muflis di ruang sebuah akhbar pada 26 Mei lalu.
"Shaheizy Sam, Hadir Segera Ke LHDN"
Dalam pada itu, Pagawai Perhubungan Awam, LHDN, Masrun Maslim berkata, pihaknya tidak mahu memberi sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.
Namun, dia menasihati pelakon tersebut untuk hadir segera ke pejabat LHDN.
"Buat masa ini kami tidak mahu beri sebarang kenyataan mengenai Shaheizy Sam. Kami tidak mahu menjadikan media sebagai medan untuk berbalah.
"Satu sahaja nasihat saya kepada artis itu, sila hadir ke LHDN atau hubungi pejabat kami untuk sebarang penjelasan. Terima kasih," kata Masrun.
Masrun turut menegaskan tindakan mereka mengiklankan notis muflis tersebut adalah mengikut prosedur seperti biasa.
Malah, notis tersebut diterbitkan selepas pihak LHDN mendapat kebenaran mahkamah.