Hanez Suraya Berniaga tudung bukan sebab ikut aliran


Hanya selepas tiga tahun bertudung, barulah bekas pelakon, Hanez Suraya, terlintas untuk serius dalam dunia perniagaan.

Kehadiran jenama hijab, Everyday KL, sejak beberapa bulan lalu pula bagai membuktikan kesungguhan wanita jelita ini untuk meneroka dunia bisnes.

Menurut Hanez, suaminya, Romie Razin Adilha, menghormati keinginannya untuk menceburi bidang perniagaan sebagai galang ganti pada permintaan lelaki terbabit supaya beliau berhenti berlakon.

"Sebelum ini, memang ada yang bertanya, kenapa saya nak jual tudung juga kerana ramai artis sudah melakukan perkara sama? Tidak kurang juga yang bersikap skeptikal ketika saya mula-mula bertudung dulu. Mereka kata, perubahan imej saya itu mesti ada kaitannya dengan bisnes hijab.

"Untuk pengetahuan, saya berniaga tudung bukan kerana mengikut aliran semasa. Ikutkan, tak pernah terlintas pun di hati saya nak jual tudung. Namun akhirnya ia menjadi kenyataan dan alhamdulillah, sambutan diberikan amat menggalakkan.

"Saya juga percaya, tudung sudah menjadi keperluan dan persaingan di kalangan mereka yang menjual produk terbabit juga bukan masalah besar. Pengguna memerlukan pelbagai pilihan dalam mendapatkan produk pilihan mereka," katanya.

Kata Hanez, suaminya turut memberikan lampu hijau untuknya bergelar ahli perniagaan.

"Jika dia tidak bagi saya berlakon, dia kenalah izinkan saya melakukan kerja lain pula untuk menjana sumber pendapatan. Akhirnya, dia memberikan restu untuk saya berniaga tudung.

"Saya sendiri masih lagi dalam fasa belajar dan bertatih di dunia baharu ini. Alhamdulillah, suami turut memberikan sokongannya," katanya yang sudah meletakkan titik noktah pada kerjaya lakonan.

Dedah ibu kepada Puteri Aleesya ini lagi, beliau mendekati beberapa teman yang menceburi perniagaan sama pada awal pembabitannya dalam bisnes terbabit, bagi mendapatkan pengetahuan.

"Alhamdulillah, kini apabila ada modal lebih, saya sudah mula mengulang pengeluaran bagi tempahan dan jualan.

"Pengikut tudung di laman sosial pun semakin bertambah dan sambutan diberikan juga sangat menggalakkan. Semua itu menjadi suntikan semangat untuk saya lebih serius dan mengembangkan lagi perniagaan," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post