Elizabeth Tan Susah nak percaya orang lagi


Lizzy kini memberi fokus dalam dunia lakonan selepas terlibat dalam drama My Darling Inspektor Daniel.

Pengalaman lampau yang dilalui dalam hidup sebenarnya menjadi pengajaran untuk diri kita untuk menempuh hari-hari mendatang. Justeru, adakalanya episod luka lalu yang pernah terjadi dalam hidup seseorang itulah menjadikan dirinya lebih matang untuk mengharungi cabaran mendatang.

Begitulah seperti yang dilalui oleh penyanyi Elizabeth Tan yang mengakui melalui fasa tekanan selepas episod percintaan bersama seorang jejaka Melayu tidak kesampaian sekitar empat bulan lepas. Sejak itu, penyanyi yang mesra disapa Lizzy itu banyak mendiamkan diri. Bahkan, ketika itu dia merasakan seolah-olah hilang arah apabila merasakan hidupnya bagaikan terumbang-ambing.

Sungguhpun begitu, penyanyi berusia 24 itu tidak mahu terus dibuai rasa kesedihan terlalu lama. Apa yang penting, dia cuba melihat pengalaman lalu daripada aspek positif.

“Saya tidak pernah merasa menyesal dengan apa yang berlaku dalam hidup ini. Walaupun adakalanya ia menjadikan saya berada dalam keadaan tertekan, tetapi itulah hakikat yang perlu dihadapi.

“Jika tidak, saya tidak akan belajar daripada kesilapan. Terlalu banyak yang saya belajar selepas putus cinta. Apapun, saya bersyukur kerana masih punya sokongan daripada keluarga yang tetap menerima baik diri saya semula selepas apa yang dilakukan (membelakangkan keluarga),” katanya ketika ditemui Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi di Hotel One World, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Katanya, pengalaman lalu mengajar dirinya agar tidak mudah meletakkan kepercayaan kepada seseorang. Lebih-lebih lagi kepada individu yang baru dikenalinya.

“Manusia ini banyak jenis perangai yang sukar dijangka. Apa yang saya belajar, jangan cepat percaya kepada orang yang baru kita kenal.

“Selepas apa yang saya lalui, saya akan jadi lebih berhati-hati dan tidak akan mudah untuk percaya orang,” kongsinya yang mahu melupakan kisah percintaan lalu dan sempat bertahan selama empat bulan sahaja.


Pengalaman lalu mengajar Lizzy agar tidak mudah meletakkan kepercayaan kepada seseorang.

Ditanya mengenai kesediaannya untuk membuka hatinya untuk menerima insan baharu, kata Lizzy, bukan dalam masa terdekat.

“Saya solo sahaja kini. Mungkin untuk tempoh yang sedikit panjang,” luahnya.

Menurut Lizzy, dia kini mahu terus bangkit meneruskan kehidupan. Baginya, dia ada tanggungjawab lain yang perlu diberi keutamaan dan bukannya hal cinta.

Apatah lagi dia kini bukan lagi bernaung bersama syarikat pengurusan, Paranormal Talents, kata Lizzy, dia perlu lebih bekerja keras dalam memastikan momentum kerjayanya dalam bidang seni.

“Sekarang saya bergerak bebas secara sendiri tanpa terikat dengan syarikat pengurusan. Jadi, semua perihal jadual seni diuruskan sendiri dengan bantuan seorang pengurus,” kongsinya yang kini cuba memberikan fokus dalam dunia lakonan pula selepas terlibat dalam drama berjudul My Darling Inspektor Daniel.

Bercakap mengenai lakonannya itu, kata Lizzy, ia merupakan naskhah sulungnya beraksi di kaca televisyen menjayakan sebuah drama bersiri.

“Saya mempunyai kesukaran sedikit kerana penguasaan bahasa Melayu saya dalam percakapan biasa agak terhad. Jadi, saya pun banyak belajar daripada pengurus yang punya latar belakang dalam bidang teater. Dia banyak membantu saya selain pihak produksi termasuk abang Aziz M. Osman selaku pengarah,” katanya.

Lebih istimewa, selain berlakon, lagu runut bunyi drama tersebut juga turut menggunakan khidmat Lizzy selaku penyanyi.

“Saya dapat tugasan itu di saat akhir. Nak dijadikan cerita, lagu itu saya hasilkan dalam tempoh 30 minit sahaja sewaktu berada di dalam kereta ketika menggunakan khidmat Uber,” kongsinya yang memberitahu lagu tersebut diberi judul Darling.

Post a Comment

Previous Post Next Post