
Penyanyi popular Siti Nordiana mengakui berdebar untuk membuat persembahan pada acara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang bakal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana berkata, debaran turut dirasa apabila dia beri tanggungjawab menyanyikan lagu penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza.
“Saya memang sudah bersedia untuk membuat persembahan, tetapi saya tidak boleh sembunyikan rasa gemuruh. Bukan apa, ini penampilan pertama saya pada acara besar membabitkan negara kita.
"Tambahan pula pada malam ini saya menyanyikan lagu (Datuk) Siti iaitu Cindai dan Lebih Indah. Seperti semua tahu, kedua-dua lagu ini mempunyai keunikan sendiri dan berjaya disampaikan dengan baik Siti. Jadi saya cuba untuk berikan persembahan terbaik," katanya kepada Harian Metro.
Dalam masa sama, Nana mengakui terdapat segelintir peminat yang membandingkan cara nyanyiannya dengan Siti berdasarkan komen yang dimuat naik di laman sosial.
Bagaimanapun, Nana memandang positif dan menyifatkan Siti penyanyi yang hebat.
"Saya mohon maaf kepada peminat Siti sekiranya persembahan saya malam ini tidak menepati cita rasa mereka. Namun saya cuba menyampaikan dengan cara saya tersendiri.
"Kedua-dua lagu ini memang 'trademark' Siti dan sudah sedap didengar. Jadi saya tidak perlu ubah banyak. Apa pun terima kasih kepada semua peminat dan orang sekeliling yang banyak memberikan kata-kata semangat," katanya.
Selain Nana, antara penyanyi lain yang turut membuat persembahan malam ini ialah Black, Amy Search, Jaclyn Victro dan ramai lagi.