Bea Rameshan Sasar gelaran penerbit


Menjadi perkara biasa apabila pelakon terjun dalam bidang penerbitan dan belakang tabir. Begitu juga dengan pelakon Bea Rameshan, 29, apabila mula membuat perancangan awal untuk terus bertahan dalam bidang seni.

Bagi Bea, sejak mula terbabit dalam bidang lakonan dia sudah meletakkan sasaran untuk bergelar penerbit satu hari nanti.

Oleh itu, dia dan suami dalam proses mengkaji dan cuba bekerjasama dengan beberapa produksi untuk lebih memahami bidang penerbitan.

“Memang susah dan banyak cabarannya tidak kira bergerak sendiri atau dengan produksi lain. Pasti ada dugaan dan cabaran.

“Namun, saya anggap itu pengalaman untuk lebih kuat dan jadikan ia bekalan pada masa akan datang,” katanya.

Pernah ditipu beberapa produksi, ibu anak tiga ini tidak mengenal erti serik, sebaliknya terus mencuba sehingga impian bergelar penerbit terlaksana.

“Apabila berada dalam bidang ini, macam-macam orang saya jumpa. Apatah lagi jika kita beritahu ada modal mulalah mereka menjanjikan bulan dan bintang.

“Sudahnya saya ditipu dan projek yang konon dalam perancangan tergendala. Serik juga, tetapi saya perlu kuat dan syukur mempunyai suami yang banyak menyokong minat saya,” katanya.

Bekas peserta program realiti Pilih Kasih ini kini mengintai beberapa produksi di Indonesia untuk melakukan kerjasama.

“Kata orang dalam berniaga perlu ada pelbagai perancangan selepas ditipu dengan ramai orang di sini. Rasanya saya perlu mencuba di tempat lain pula.

“Saya memilih Indonesia kerana selain yakin dengan cara penerbitan mereka saya juga mahu mencuba sesuatu yang baru dan berlainan.

“Pastinya cara penerbitan di setiap negara berbeza dan saya berharap dapat menimba pengalaman itu,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post