Azmi (dua dari kiri) ketika ditemubual pihak media pada pelancaran single Buta.
Vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat memberitahu dia nyaris menolak single terbaru kolaborasinya bersama penyanyi Faizal Tahir hanya kerana judulnya Buta.
Ini kerana kata Azmi, ketika diberitahu tentang judulnya, secara peribadi dia rasa sedikit risau tentang penerimaan orang ramai yang mungkin melihat perkataan buta itu sendiri agak sensitif terutama bagi mereka yang mengalami masalah penglihatan.
"Pada awalnya saya menolak untuk menyanyikan lagu ini kerana bimbang akan dikecam dan dianggap tidak sensitif oleh sesetengah pihak.
"Bagaimanapun setelah diyakinkan bahawa lagu tersebut terselit banyak mesej positif, saya terus bersetuju dan alhamdulillah tertunai satu lagi hasrat saya untuk berkolaborasi dengan Faizal Tahir yang sememangnya menjadi impian saya selama ini," katanya kepada mStar Online.
Azmi dan kumpulannya Caliph Buskers menyampaikansingle terbarunya Buta di hadapan pihak media.
Azmi dan kumpulannya Caliph Buskers ditemui pada majlis Pelancaran Single Buta yang berlangsung di Talent Lounge, Damansara, di sini pada Rabu.
Bagaimanapun atas sebab-sebab tertentu, Faizal tidak dapat menghadirkan diri untuk sama-sama meraikan hari bersejarah itu.
Dalam pada itu kata Azmi, apa yang menarik mengenai lagu ciptaan Faizal Tahir bersama dua komposer lain iaitu Ezra Kong dan Mike Chan ini ialah liriknya yang langsung tidak menyebut perkataan buta.
"Itu yang uniknya tentang lagu ini dan saya yakin jika diamati secara mendalam liriknya, Buta juga mampu memberi motivasi kepada mereka yang senasib dengan saya," katanya.
Mike Chan (dua dari kiri) salah seorang komposer yang terlibat dalam penghasilan lagu Buta menjawab soalan media.
Mewakili dua rakan komposer yang lain, Mike Chan berkata, kekuatan lagu tersebut terletak pada melodi, lirik dan cara lagu itu disampaikan oleh kedua penyanyinya.
"Kualiti adalah antara faktor utama yang kami fokus ketika menghasilkan lagu ini. Melodinya dibuat dalam waktu yang singkat cuma liriknya sahaja yang memakan masa lebih kurang dua minggu.
"Ini kerana kami mahu mencari perkataan yang tepat supaya Azmi selesa menyanyikannya," ujarnya.
Lagu Buta merupakan edaran Warner Music (M) Sdn Bhd di mana lirik videonya kini sudah mula boleh ditonton di laman YouTube sejak ia dilancarkan pada Rabu.