Drama adaptasi novel terbukti menjadi resipi kejayaan stesen TV dalam meraih jumlah penonton tinggi.
Ini kerana populariti dan pengaruh sedia ada sesebuah novel itu sendiri yang terdiri dalam kalangan pembacanya.
Trend yang bermula sekitar 2015 dan berterusan sehingga kini bukan saja memberi variasi pilihan drama di kaca televisyen bahkan mencipta ramai bintang terkenal hari ini.
JS Pictures Sdn Bhd, sebuah syarikat produksi berpengalaman cuba mewujudkan senario baru dalam penerbitan drama apabila mengangkat karya adaptasi daripada cerpen pula.
Dekatkan Jarak Kita yang dihasilkan Syu Ariani menjadi pertaruhan terbaru mereka dan drama 15 episod ini dijangka mencetuskan fenomena melalui gandingan pemain watak utamanya, Ayda Jebat dan pelakon sedang meningkat naik, Syafiq Kyle.
Mendapat sentuhan pengarah terkenal Azman Yahya, drama yang mengisi slot Samarinda di TV3 yang akan ditayangkan bermula 8 November depan nanti turut menampilkan barisan pelakon dikenali ramai antaranya Riena Diana, Wan Sharmila, Nadia Brian, Catriona Ross, Azhan Rani.
Sheila Rusly selaku penerbit drama ini berkata, menghasilkan sebuah drama adaptasi cerpen memerlukannya mengembangkan jalan cerita dan watak pelakon kerana cerpen adalah sebuah cerita pendek .
“Tidak seperti novel, sebuah bahan bacaan yang tebal dan terdapat pelbagai plot cerita di dalamnya, cerpen pula kisah penceritaan ringkas dan pendek.
“Jika sesebuah drama terhasil daripada adaptasi novel, kisahnya perlu dimampat, dipendekkan atau dibuang bahagian yang tidak penting. Sebaliknya cerpen memerlukan penulis skrip lebih berimaginasi dengan mewujudkan banyak plot baru untuk menjadikan ia sebuah cerita yang menarik untuk ditonton,” katanya. Mempertanggungjawabkan Rehal Nuharis sebagai penulis skrip, Sheila dan suaminya yang juga pengarah drama ini atau lebih mesra dengan panggilan Jinggo, mempraktikkan cara kerja skrip perlu lengkap sebelum penggambaran dijalankan bagi menggarap sebuah kisah yang menarik.
“Apabila penulis bagi skrip, saya akan lihat dulu dan perbaiki serta mencantikkan apa yang patut.
“Kemudian, suami akan buat semakan kali terakhir sebelum diserahkan kepada penolong pengarah untuk menyusun jalan cerita dan jadual pelakon.
“Sementara artis yang terbabit dalam produksi saya, mereka perlu membaca skrip sehingga habis sebelum datang untuk berbincang tentang watak masing-masing.
“Maaf cakap ada sesetengah produksi boleh bekerja tanpa skrip atau skrip yang ditulis saat akhir. Sebaliknya saya dan suami, perkara paling penting untuk kami buat drama, benda adalah skrip yang perlu siap terlebih dahulu. Kalau tak lengkap, saya tak boleh nak rancang apa nak buat dengan cerita itu.
“Dengan ada skrip lengkap, barulah saya sebagai tahu arah tuju drama serta bajet dan pelakon yang sesuai,” katanya.
Bercakap mengenai barisan pelakon pilihannya kali ini, setiap karakter memenuhi ciri watak yang diperlukan. Memilih muka popular juga dilihat sebagai elemen penting juga tarikan untuk meraih jumlah penonton yang tinggi.
“Ini kali kedua Ayda Jebat bekerja dengan saya dan memang membayangkan Ayda untuk watak Alyssa Sofea.
“Sementara Shafiq Kyle pula, namanya sedang meningkat naik sekarang. Bagi saya untuk memastikan populariti tidak menenggelamkan lakonan seseorang pelakon, mereka perlu mendapat bimbingan pengarah semasa di set penggambaran.
“Menjadi tugas pengarah untuk membentuk lakonan pelakon dan hal ini sering kami titik beratkan kepada sesiapa pun yang bekerjasama dengan JS Pictures,” katanya.
Dalam pada itu, Ayda berkata, Dekatkan Jarak Kita memberi pengalaman berbeza kepadanya sebagai pelakon.
Ini kerana dia perlu membawakan dua karakter yang berbeza iaitu sebagai Alyssa Alyssa dan jelmaan kepada Sofiya.
“Alyssa mempunyai kawan baik bernama Sofiya. Sofiya adalah seorang kanak-kanak yang hilang dan dipercayai mati sedangkan dia masih hidup.
“Dia berpura-pura hilang ingatan supaya tidak dijejaki. Bagaimanapun, apabila meningkat dewasa Sofiya mengamanahkan satu wasiat kepada Alyssa untuk membuktikan dirinya masih hidup dengan mencari kembarnya Tashriq. Alyssa diminta menyamar menjadi Sofiya.
“Alyssa berjaya menjejaki Tashriq namun masalah timbul apabila Alyssa jatuh hati pada lelaki itu. Bayangkan jatuh cinta pada abang sendiri? itulah konflik saya di dalam drama ini.
“Selain dilema cinta dihadapi Alyssa, untuk saya mengubah karakter Alyssa yang kasar kepada perwatakan lembut Sofiya memberikan satu lagi cabaran lain buat saya,” katanya.
Selain watak yang dimainkan Ayda, Azhan Rani melalui karakter Kamil tidak kurang hebatnya.
Pertama kali bekerjasama dengan JS Pictures selepas beberapa kali terpaksa menolak tawaran disebabkan kekangan waktu, Azhan tidak pernah menjadikan statusnya sebagai pelakon berpengalaman untuk dia mengetepikan saranan pengarah.
“Setiap drama, telefilem atau filem yang saya bintangi lebih-lebih lagi produksi julung kali disertai, saya akan membawa diri sebagai orang baru dan sedia menerima teguran.
“Untuk watak saya sebagai Kamil, Sheila Rusly mahu saya memainkan watak antagonis dalam karakter yang pelbagai. Kadang dia tenang, kadang dia cemas dan kadang dia kejam.
“Setiap fasa emosi ini perlu dibawa dengan betul kerana saya perlu membuatkan penonton membenci saya bukan suka kepada saya,” katanya.