Alvin Chong jadi mualaf lagi


Selepas berganding dalam drama bersiri Suri Hati Mr Pilot, pasti kehadiran aktor popular Fattah Amin dan Alvin Chong dalam program realiti The House antara yang ditunggu-tunggu penonton.

Bakal menemui penonton September ini, untuk menjayakan program itu Alvin perlu tinggal serumah dengan Fattah.

Alvin, 26, mengakui pernah terfikir sama ada aktor popular itu seorang yang pembersih atau sebaliknya. Dia terdetik mengenai perkara itu apabila mereka berdua perlu tinggal ‘sebumbung’ selama sembilan hari penggambaran.

“Apabila dapat tahu saya perlu tinggal serumah dengan Fattah, benda pertama yang terlintas di fikiran adakah dia seorang yang pembersih?

“Adakah saya perlu tidur sekatil dan guna tandas yang sama dengannya? Sebab saya tak suka lantai basah selepas digunakan.

“Tapi nasib baik dia juga seperti saya dan tahu menjaga kebersihan. Jadi, tak ada masalah bab itu. Lagipun, saya mempunyai sedikit sifat Obsessive Compulsive Disorder (OCD),” katanya.

Rancangan realiti yang menjalani penggambaran di Hutan Belum, Perak itu akan mula disiarkan pada 20 September depan.

Kata Alvin, dia juga akan sibuk di lokasi penggambaran drama Awak Suka Saya Tak dan sekali lagi bakal membawakan watak mualaf.

Untuk watak ini juga, Alvin akui ada babak dia sedang solat, membaca al-Quran serta melaungkan azan dan berharap penonton tidak salah faham apabila menonton drama itu nanti.

“Watak kali ini lebih berat berbanding Suri Hati Mr Pilot kerana naskhah kali ini saya seorang mualaf yang masuk Islam dengan sendiri.

“Banyak babak saya kena solat dan azan tetapi babak itu akan dialih suara. Jadi, saya harap penonton tidak salah faham dengan apa yang saya lakukan,” katanya.

Sebelum ini Alvin pernah dilanda kontroversi apabila beberapa dialognya seperti memberi salam di dalam drama Suri Hati Mr Pilot menjadi perdebatan netizen.

Menerusi Awak Suka Saya Tak itu, Alvin diberi tanggungjawab yang lebih besar dengan membawa peranan hero di samping pelakon Emma Maembong. Drama iti dijangka disiarkan pada Oktober depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post