Keterbukaan Fasha Sandha dan Mukhlis memuatnaik gambar secara bersama di laman Instagram masing-masing mencetus spekulasi ramai kononnya mereka kini sedang hangat menjalin cinta.
SEJAK akhir-akhir ini heboh mengatakan pelakon Fasha Sandha sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan seorang pemuda bernama Mukhlis atau turut dikenali sebagai 'Ustaz Rock'.
Tidak sahaja saling memuatnaik gambar di laman Instagram masing-masing, Fasha, 33, menerusi sekeping gambar turut meletakkan hashtag #mrimissesu (I miss you) yang sekali gus menguatkan lagi spekulasi bahawa pasangan ini sedang hangat bercinta.
Enggan membiarkan peminat terus tertanya-tanya, Fasha tidak terus berdiam diri dan tampil memberi kenyataan.
"Terima kasih kerana mendoakan yang terbaik untuk saya dan Ustaz Rock. Cuma buat masa ini apa yang boleh saya katakan, saya dan dia tiada hubungan istimewa, hanya berkawan.
"Terus-terang saya katakan saya belum mahu buka pintu hati untuk ke fasa bercinta kerana saya enjoy dengan kehidupan sekarang. Kesian lelaki kalau terima cinta saya sebab saya terlalu sibuk dan tak lama lagi akan berlakon menerusi drama 70 episod," katanya.
Fasha memberi peluang untuk peminat-peminatnya bertanyakan soalan di LIVE Instagramnya pada Selasa.
“Dia Dah Berani Cakap Rindu” – Fasha Sandha
Fasha berkongsi kenyataan tersebut menerusi video Instagram Live pada Selasa sambil membuka peluang kepada peminat untuk bertanyakan apa sahaja soalan kepadanya.
Seperti dijangka, peluang tersebut tidak dilepaskan peminat untuk bertanyakan dengan lebih lanjut mengenai hubungannya bersama 'Ustaz Rock' atau nama sebenarnya Ahmad Mukhlis Mohd Rosdi.
Antara yang ditanya peminat, kenapa Fasha terbuka berkongsi kata rindu menerusi sekeping gambar yang dimuatnaiknya di Instagram bersama Mukhlis?
Jelas Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan, perkataan rindu tersebut hanyalah ungkapan untuk seorang sahabat.
Namun di pihak Mukhlis yang turut menulis hastag yang sama #mrimissesu, Fasha berkata dia tidak tahu sejauhmana maksud pemuda itu.
Gambar dimuatnaik Fasha bersama Mukhlis dengan #mrimissesu di laman Instagramnya mendapat perhatian netizen.
"Bukan dia seorang yang saya cakap rindu, mana-mana kawan dan sahabat saya ungkap benda sama. Jadi ia tak perlu jadi isu.
"Soal dia turut menulis hashtag yang sama, itu saya tak pastilah maksudnya. Cuma di pihak saya, saya terima ucapan itu datang dari seorang kawan, tidak lebih dari itu," katanya.
Fasha juga turut menjelaskan kenapa dia membawa Mukhlis ke majlis resepsi persandingan pelakon Ummi Nazeera pada Sabtu lalu.
"Selalunya saya bersama sahabat yang juga pengurus saya Murshid, tetapi untuk majlis tersebut dia tak dapat ikut. Jadi saya ajaklah Mukhlis teman. Tak sangka pula ramai yang beri perhatian," katanya.
Tambah Fasha, dia memberi peluang peminat untuk bertanya menerusi live video tersebut kerana tidak mahu orang ramai tersalah anggap.
Kata Fasha, buat waktu sekarang hatinya belum terbuka untuk ke fasa bercinta.
Katanya, hubungan sebagai kawan dan sahabat akan lebih kekal selain mengambil kata-kata nasihat daripada peminat-peminatnya agar memberi masa untuk diri dia bersama anak-anak dan insan-insan yang menyokong kerjaya seninya selama ini.
"Peminat pun larang saya berkahwin dalam waktu terdekat ini kerana kata mereka, kalau saya kahwin masa saya bersama mereka akan lebih terhad apatah lagi pada 21 Ogos depan, saya dan peminat akan ke Bali untuk bercuti bersama," akhiri Fasha.
mStar Online cuba menghubungi Mukhlis bagi mengulas mengenai hal ini, namun sehingga kini masih belum menerima jawapan daripada pihaknya.
Mukhlis digelar Ustaz Rock kerana aktif mengajak orang ramai mengaji secara langsung di Instagram dan beliau juga merupakan duta kepada mengaji.com dan pengasas sebuah produk pemakanan dan kencantikan.
Mukhlis berasal dari Kota Bharu, Kelantan, berusia 26 tahun dan merupakan pelajar lulusan Ijazah dalam Pengurusan Pembinaan dari Universiti Limkokwing.
Terbaharu, foto Mukhlis bersama beberapa kereta mewah menjadi tular dan netizen mula mengaitkan jutawan muda ini berkemungkinan kekasih Fasha Sandha.
Mukhlis bersama salah sebuah kereta berjenama mewah yang kerap dikongsi di Instagram miliknya.