Syawal nan ceria Fasha Sandha


TRADISI - Meneruskan tradisi balik kampung sebagai satu kewajipan setiap kali tibanya Syawal, Fasha Sandha juga tidak akan melepaskan peluang makan laksa, pulut kuning dan rendang masakan ibunya yang menjadi juadah wajib mereka sekeluarga sepanjang raya.

PULANG beraya di Perlis beberapa hari sebelum 1 Syawal, cuti raya Fasha Sandha masih berbaki hingga minggu depan. Itulah istimewanya bergelar selebriti. Jadual kerja boleh diatur sendiri tanpa perlu mengisi borang cuti tahunan.

Tempoh untuk bersantai bersama saudara-mara dan anak-anak juga tidak terganggu dek panggilan telefon daripada majikan atau harus segera kembali ke bertugas.

Namun, bergelar artis juga ada kos lebih besar yang harus dibayar. Adakalanya, hari-hari yang sepatutnya diwarnai gelak ketawa bersama keluarga sambil menjamah aneka juadah terpaksa dikorbankan demi komitmen yang telah dipersetujui.

Menjadi Fasha yang sudah lebih 15 tahun mekar di pentas dunia hiburan, itu semua sudah menjadi asam garam buatnya.

Beruntungnya dia, ketegasan dalam merencana jadual kerja sering memihak kepadanya. Oleh sebab itu, dia pernah tidak bergegas untuk pulang raya atau tiba-tiba harus kembali ke kota ketika masih bercuti.

“Sebab itu perancangan sangat penting. Saya sangat menghargai masa sama ada untuk keluarga, begitu juga dengan kerja. Tahun ini, saya bercuti sekitar dua minggu dan akan pulang ke Kuala Lumpur (KL) beberapa hari lagi,” jelas Fasha.

Emosi

Mendasari emosi Fasha, Aidilfitri tahun ini menjadi lembaran kedua buatnya meraikan keriuhan Syawal tanpa kehadiran seorang lelaki bergelar suami di sisi.

Bercerai kasih dengan Toh Muda Rizal Ashram Ramli pada Januari 2016 bagaimanapun tidak menenggelamkan kebahagiaan di daerah hidup pemilik nama sebenar, Nur Fasha Sandha Hassan itu.

Langit Syawalnya berlimpah cahaya benderang. Terkalung indah di halaman jiwanya dua kejora bernama Putra Rayfal dan Putri Raysha Jemyma.

“Raya yang sebenarnya ialah berkumpul bersama keluarga. Bagi saya, keseronokan raya adalah untuk anak-anak kecil.

“Melihat mereka gembira, hati setiap ibu bapa turut bahagia. Saya pun sama. Tahun ini, Rayfal dan Jemyma cukup seronok sebab sudah dapat menikmati apa itu hari raya. Mereka sudah pandai bermain bunga api dan bergaul mesra dengan sepupu serta kanak-kanak lain yang datang beraya.

“Tambah seronok juga, kami pulang ke kampung dengan menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS). Bagi saya, itu cara paling cepat ke sana, sekitar empat jam 45 minit sudah boleh sampai,” cerita Fasha yang optimis dalam setiap keputusan hidupnya.

Bercerita tentang suasana sambutan raya, tradisi Aidilfitri Fasha tidak banyak yang berubah.

“Hari raya masih tentang pertemuan dengan sanak saudara. Sambutan raya saya sama juga dengan orang lain, ia disambut dengan sederhana tetapi penuh dengan kemeriahan kerana dapat berkumpul dengan adik-beradik dan keluarga,” jelas Fasha ceria.

Tambah pelakon berusia 33 tahun itu, dia langsung tidak terkesan melihat kebahagiaan pasangan lain yang beraya lengkap sekeluarga atau suami isteri yang bersama-sama berbaju sedondon pada pagi 1 Syawal.

“Saya tidak akan beremosi melihat kebahagiaan pasangan lain yang beraya lengkap sekeluarga kerana saya sendiri masih ada keluarga.

“Keadaannya sama sahaja. Anak-anak saya masih ada ayah, cuma kami tidak beraya bersama,” jelas Fasha yang tidak berlebih-lebihan menyambut raya.

Busana Aidilfitri

Bercakap tentang baju raya, Fasha hanya menempah sepasang baju raya untuk diri sendiri, namun gaya rayanya menjadi lebih istimewa apabila banyak menerima pemberian orang hasil keterlibatannya dalam kempen fesyen Lebaran bersama butik terkenal.

“Saya hanya tempah sepasang baju raya untuk diri sendiri, itu pun ditempah dengan bayaran upah RM80 sepasang. Untuk anak-anak pula hanya tiga pasang seorang tetapi kami dimurahkan rezeki apabila banyak butik online yang memberi hadiah kepada mereka.

“Saya sendiri turut menerima 43 pasang baju pemberian orang kerana terlibat dengan kempen baju raya mereka. Antara pihak yang taja baju raya tahun ini adalah Syuz dari Rumah Kebaya, Inai Red dan Jubah Souq. Ikutkan, saya tidak mampu beli baju raya seperti daripada Inai Red. Alhamdulillah, terima kasih,” jelas Fasha.

Seperti biasa, tradisi Aidilfitri aktres Nana Tanjung itu disambut seisi keluarga di utara iaitu di Kuala Perlis, Perlis. Dia bagaimanapun tidak pernah menghalang bekas suaminya, Rizal Ashram atau Jejai daripada bertemu dengan anak-anaknya, tidak kira sama ada musim perayaan atau hari-hari biasa,

“Anak-anak akan beraya dan jumpa ayah mereka apabila saya balik KL nanti,” jelas Fasha yang kini masih menghabiskan cutinya di Perlis.

Karier

Baru selesai penggambaran filem Blok 404 sebelum sambutan Aidilfitri, Fasha kini sedang meneliti beberapa buah skrip sebelum memberi kata putus tentang penglibatannya.

Setakat ini, dua tawaran drama bersiri termasuk untuk Astro dan RTM sedang menanti untuk dijayakan apabila kembali ke KL.

“Saya juga ada sebuah drama bersiri untuk siaran TV3 bertajuk Hanya Tuhan Yang Tahu arahan Murali Abdullah yang dijadualkan tayangannya tahun ini,” jelas Fasha.

Post a Comment

Previous Post Next Post