Daler Yusuf tidak kejar kontroversi


Daler Yusuf mengakui tindakan memegang dada Nelydia adalah perbuatan yang tidak disengajakan.

PELAKON baharu, Daler Yusuf tidak menyangka tempoh dua tahun bergelar anak seni telah menyebabkan namanya terpalit dengan kontroversi.

Tanpa diduga video berdurasi kurang satu minit memaparkan dirinya membonceng motosikal yang ditunggang oleh pelakon Nelydia Senrose telah mencetuskan cerita kurang enak.

Menerusi video tersebut, Daler atau nama sebenarnya, Daler Yusuf Muhammad, 25, dalam keadaan mendepakan tangan berasa terkejut lalu memeluk dan memegang dada Nelydia apabila pelakon itu secara tiba-tiba memperlahankan motosikal mereka.

Jejaka kelahiran Uzbekistan itu juga memohon maaf atas tindakannya dan menafikan perbuatannya memuat naik video tersebut bertujuan untuk meraih publisiti.

Kata Daler, video tersebut dimuat naik dalam akaun Instagram miliknya untuk tujuan mempromosikan drama terbaharu lakonan mereka bertajuk Encik Suami Mat Salleh Celup terbitan TV3.

KOSMO!: Sebelum memuat naik video tersebut adakah Daler menyedari akan insiden ‘panas’ itu sehingga menyebabkan anda dikatakan tidak sensitif?

DALER YUSUF: Perkara tersebut berlaku secara spontan dan tidak sengaja. Sejujurnya saya memohon maaf kepada masyarakat dan penonton drama tersebut. Insiden itu berlaku tanpa disengajakan kerana Nelydia secara tiba-tiba memperlahankan motosikal ketika melalui bonggol.

Disebabkan saya tidak biasa menaiki motosikal, justeru keadaan itu menyebabkan saya berasa takut lalu memeluk Nelydia dan tanpa disedari secara tidak sengaja terpegang dadanya.

Apakah tujuan anda memuat naik video tersebut?

Saya memuat naik video berkenaan bertujuan untuk mempromosikan drama Encik Suami Mat Salleh Celup menerusi saluran TV3.

Selepas insiden tersebut berlaku adakah anda berasa tertekan?

Memandangkan saya merupakan seorang pelakon baharu, jadi perkara tersebut secara tidak langsung telah memberikan tekanan.

Saya tidak mahu peminat mengenali Daler Yusuf dengan cerita kurang enak kerana sepanjang tempoh dua tahun aktif sebagai pelakon, ini merupakan kali pertama saya dihimpit kontroversi.

Bagaimanapun, terus terang saya katakan bahawa perbuatan memuat naik video tersebut bukan bertujuan untuk mengejar populariti, sebaliknya mempromosikan drama.

Tidakkah anda merasakan kontroversi itu secara langsung dapat membantu seseorang pelakon menjadi lebih mudah dikenali?

Kontroversi memang adakalanya dapat membantu seseorang pelakon untuk menjadi lebih dikenali tetapi pada saya lebih baik ia tidak berlaku.

Diharapkan agar peminat mengingati permulaan kerjaya berdasarkan bakat dan bukannya kontroversi atau cerita negatif, ditambah pula dengan keadaan saya yang masih baharu dalam industri.

Disebabkan kejadian tersebut, adakah anda ada berhubung dengan Nelydia?

Sebaik sahaja video tersebut menjadi viral dalam media sosial, saya terus menghubungi Nelydia dan memohon maaf kepadanya. Syukur dia menerima perkara tersebut dengan positif dan memahami akan situasi saya.

Dia juga ada memberi nasihat dan kata-kata semangat agar tidak berasa tertekan dengan situasi tersebut.

Apakah tindakan yang mahu dilakukan pada masa akan datang bagi mengelakkan perkara sebegini berulang lagi?

Setiap video atau tindakan yang mahu saya ambil pada masa hadapan akan diteliti sebaik mungkin terutama memuat naik gambar mahupun video dalam media sosial.

Perkara ini telah menjadi pengajaran buat saya agar lebih peka dan tidak terlalu terburu-buru dalam membuat keputusan meskipun melibatkan hal yang remeh.

Adakah selepas ini anda akan meletakkan syarat atau menghadkan lakonan agar tidak bersentuhan dengan pelakon wanita?

Secara peribadi saya berasa selesa sekiranya tidak melibatkan babak bersentuhan dengan pelakon wanita. Bagaimanapun, sebagai pelakon baharu saya enggan meletakkan sebarang syarat atau membataskan lakonan.

Hal ini kerana bimbang peminat mengatakan saya tidak profesional mahupun sombong. Selain itu, sekiranya gandingan pelakon berasa selesa berlakon tanpa babak bersentuhan, saya menerimanya dengan hati terbuka.

Tambahan, saya juga masih baharu dan perlu banyak belajar tentang dunia lakonan dan industri seni tempatan.

Post a Comment

Previous Post Next Post