Shahrol Shiro ganti Halim Othman


GANDINGAN trio yang menemani pendengar Suria FM pada setiap hari bermula pukul 5 hingga 10 pagi menerusi slot Suria Pagi. Dari kiri: Shahrol Shiro, Zulin Aziz dan Fizi Ali.

PELAWAK dan pengacara Shahrol Shiro dipilih menyertai stesen radio Suria FM bagi menggantikan tempat penyampai radio popular, Halim Othman menerusi segmen Suria Pagi berkuat kuasa 10 Julai lalu.

Segmen yang bersiaran pada setiap hari bermula pukul 5 hingga 10 pagi itu sebelum ini menggandingkan Halim, Zulin Aziz dan Fizi Ali.

Perkara berkenaan diumumkan pihak Suria FM pada satu majlis pengumuman rasmi yang diadakan di Tropicana City Mall, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menurut Pengurus Besar Program Suria FM, Subarma Mohtaruddin, pemilihan Shahrol sebagai penyampai radio baharu di stesen itu adalah pilihan terbaik berdasarkan kepada karisma dan bakat dalam melontarkan watak yang diberi kepadanya.

“Walaupun Shahrol seorang pelawak dan terkenal dengan sifat kelakar, namun di sini kami menganggapnya sebagai seorang penghibur. Penghibur bermaksud dia boleh menghiburkan semua orang dengan lawak jenakanya dan pada masa sama mampu menyampaikan pelbagai informasi dengan berkesan.

“Kami sangat berharap dengan pertambahan ahli baharu dalam keluarga besar Suria FM akan merancakkan lagi industri penyiaran di negara ini selain dapat meningkatkan jenama kami ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.

Selepas ini, Halim Othman akan mengendalikan segmen Grandstand Suria yang bersiaran setiap hari Sabtu dan Ahad pada pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Sementara itu, Shahrol, 33, turut memanjatkan kesyukuran kerana diberi kepercayaan menyertai keluarga besar Suria FM, sekali gus mengambil alih tugas sebagai penyampai segmen Suria Pagi.

“Saya tahu, ia bukan tugas yang mudah kerana menggantikan tempat Halim Othman, nama yang besar dalam industri penyampai radio. Namun, atas segala kepercayaan dan nasihat yang diberikan semua pihak, saya akan melakukan yang terbaik.

“Saya juga tahu, sekarang sudah menjadi trend pelawak diambil menjadi penyampai radio mahupun pengacara, namun saya tidak mahu mengambil mudah setiap kepercayaan yang diberikan. Sebab itu, apa yang saya mahu adalah menjadi penyampai radio yang berilmu, bukan sekadar untuk melawak,” tegasnya.

Kongsi Shahrol lagi, dia tidak menunggu lama untuk memberi persetujuan apabila menerima tawaran tersebut pada awal bulan lalu kerana sentiasa bersedia untuk bekerja dengan orang dan persekitaran baharu.

“Biarpun waktu bekerja dan persekitaran di tempat baharu berbeza dengan tempat kerja lama tetapi saya tidak menganggap ia sebagai masalah.

“Sebaliknya, saya sangat teruja dengan tugas baharu ini. Malah, gandingan bersama Zulin dan Fizi juga tidak mendatangkan masalah kerana saya sudah kenal lama dengan Zulin. Untuk mencipta keserasian bersama Fizi juga tiada masalah kerana buktinya, pada hari pertama kami bersiaran ia berlangsung dengan lancar,” katanya.

Gandingan Shahrol, Zulin dan Fizi sudah pun bersiaran bermula 10 Julai lalu (Isnin) tanpa memperkenalkan pemilik suara penyampai yang menggantikan tempat Halim Othman.

Pengumuman kemasukan Shahrol menggantikan Halim kemudiannya dibuat menerusi segmen Suria Petang (4 petang hingga 8 malam) pada hari sama yang dikendalikan oleh Tyzo dan Suraya.

Post a Comment

Previous Post Next Post