Serina Redzuawan, Kami gilir-gilir jaga anak


Serina Redzuawan

MAHKAMAH Tinggi Syariah Shah Alam hari ini memerintahkan hak jagaan dua anak pelakon dan pengacara Serina Redzuawan iaitu Tristan Tareef O’luanaigh, 6, dan Isabella Safiyya O’luanaigh, 5, diserahkan bapa kandungnya warga Britain iaitu Gavin Edward O’Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar.

Hak jagaan kekal tersebut diberikan kepada Salahudin secara persetujuan bersama dengan isterinya Serina Redzuawan dengan beberapa syarat dan terma lawatan yang dipersetujui bersama.

Pada  7 Jun lalu, hakim Nenney Shuhaidah Shamsudin memberikan hak jagaan sementara secara ex parte kepada Salahudin dan Serina diberikan antara lain hak lawatan pada setiap hujung minggu sama ada Sabtu atau Ahad dari jam 9.00 pagi hingga 5 petang dengan memaklumkan terlebih dahulu kepada Salahudin.

Salahudin diwakili peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Raihan Mustapha Kamal manakala Serina diwakili oleh Syamimi Abdul Rahman.

Dengan perintah ini isu hak jagaan anak-anak tersebut diselesaikan manakala kes perceraian pasangan ini masih berjalan.

Sementara itu, Serina ketika dihubungi Sinar Harian Online berkata, hak penjagaan anak-anak dibuat secara sepakat.

“Kami sepakat. Cuma, anak-anak tinggal di rumah asal kerana kami sudah mengubah suai rumah dan bilik untuk keselesaan mereka.

“Kami akan jaga anak sama rata. Bila Gavin bertugas di luar negara, saya akan jaga anak-anak, begitu juga bila saya sibuk dengan penggambaran, Gavin akan ambil alih,” katanya.

Jelasnya, perkara ini perlu sepakat untuk masa hadapan anak-anaknya.

“Kami perlu toleransi hal-hal berkaitan anak-anak ini. Kami nak kasi perhatian, kasih sayang dan ajaran agama secukupnya pada mereka,” ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post