BIMBANG tidak dapat memberi komitmen terhadap pelajaran, Ismail Izzani memilih untuk belajar dari rumah (home schooling) sejak pertengahan tahun lalu.
Penyanyi yang popular dengan lagu Sabar ini bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Kata Ismail, keputusan itu diambil selepas menerima nasihat ibunya, Datin Suliza Salam yang poplar pada era 80-an.
Ismail juga memberitahu Media Hiburan, dia sudah berbincang dengan kedua orang tuanya dan home schooling adalah jalan terbaik.
Jelasnya, keputusan itu juga diambil lantaran kesukarannya membahagikan masa di antara pelajaran dan karier seni.
"Saya bimbang kalau teruskan di sekolah biasa, saya tak dapat beri komitmen sebab sibuk dengan nyanyian.
"Lagipun, single kedua saya juga akan dilancarkan nanti. Tapi pelajaran tetap utama," katanya.
Pada masa sama, penyanyi berusia 17 tahun ini juga sudah memperlahankan jadual seninya demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan.
Ismail berazam untuk tidak mengabaikan pelajaran demi masa depannya.
"Sekarang saya akan fokus betul-betul pada SPM," katanya yang bercita-cita menyambung pelajaran di universiti.
Dalam pada itu, Ismail menganggap populariti ibunya bukan tiket dia menempa nama dalam persada seni tetapi lebih percaya dirinya dikenali kerana bakat.
"Saya menyanyi sebab hobi tapi dah jadi kerjaya. Media sosial banyak membantu saya ingin dalam bidang ini," katanya.
Ismail yang kini bernaung di bawah World Peace Entertainment juga tidak menafikan media sosial menjadi medium syarikat rakaman mencari artis baru.
Dalam perkembangan lain, penyanyi muda ini baru saja melancarkan lagu Raya Nusantara duet bersama Rizky Febian, Fatin Shidqia, Siti Nordiana, Ismail Izzani, Sufi Rashid sempena Aidilfitri.