Kelangsungan kerjaya Ernie Zakri


SINGLE BAHARU - Selepas mempromosikan single duet bersama Syamel berjudul Aku Cinta, Ernie Zakri kini mengumpul material sebelum melancarkan lagu solo baharunya dalam tempoh masa terdekat.

KECINTAANNYA terhadap dunia muzik menjadi pembakar semangat buat pemilik nama Nur Ernie Shahirah Zakri untuk terus berusaha mencipta nama sebagai penghibur tanah air.

Biarpun hatinya pernah terdetik untuk mengundurkan diri tatkala usahanya dipandang sepi peminat tujuh tahun lalu tetapi bagai kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.

Bidalan klasik itu seakan tepat bagi menggambarkan keadaan wanita yang popular dengan nama pentas, Ernie Zakri apabila dia kini semakin diminati serta diterima dalam kalangan peminat tempatan.

Pada masa sama, pelantun lagu Jangan Marah itu turut meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada peminat yang memberi sokongan.

“Alhamdulillah, selepas muncul menerusi program Dua Star, peminat mula menerima kehadiran saya dalam industri dan pastinya ia suatu perkara yang tidak diduga dan terima kasih kepada mereka yang telah banyak memberi sokongan,” kata Ernie sambil mengukir senyuman.

Selain berbakat dalam bidang seni suara, tidak ramai khalayak mengetahui bahawa anak bongsu daripada dua beradik tersebut pernah membintangi sebuah drama rantaian di samping penyanyi popular, Tomok.

Mengukirkan senyuman sambil menyelak rambutnya ke belakang, anak saudara kepada bintang popular tanah air, Ziana Zain dan Anuar Zain itu mengambil masa seketika sebelum memberikan jawapan.

Sebagai anak seni, dia turut merasakan bahawa kerjaya lakonan juga mempunyai kemahiran dan kesabaran yang tinggi terutama ketika ingin menzahirkan karakter dengan baik.

Juara Bintang RTM 2009 itu juga mengakui pengalaman menunggu lama di set penggambaran dalam keadaan cuaca panas dan hujan menjadi antara cabaran untuk bergelar pelakon.

Katanya, biarpun mempunyai minat dalam bidang lakonan tetapi dia lebih senang untuk memberi fokus kepada kerjaya nyanyian terlebih dahulu.

“Pada tahun 2013 saya pernah berlakon dalam sebuah drama rantaian terbitan TV1 bersama Tomok. Pengalaman ketika itu agak sukar kerana ia merupakan pertama kali saya menjadi pelakon.

“Keinginan untuk menjadi pelakon itu ada tetapi saya lebih selesa untuk memberi fokus kepada kerjaya nyanyian terlebih dahulu sebelum menceburi bidang lain,” katanya yang pernah membintangi drama rantaian berjudul Diari Kampus Biru.

Impian

Selain meluahkan keinginan menjadi pelakon, Ernie turut menyimpan hasrat untuk membuka sebuah akademi khusus buat pembelajaran vokal.

Perkara itu secara tidak langsung dapat memberi peluang buat mereka yang ingin mengasah bakat sebagai anak seni mahupun penyanyi sedia ada berusaha memperbaiki diri.

Katanya, kekurangan pusat pengajian yang memberi penekanan dalam soal seni suara dan kemahiran menyanyi membuatkan dirinya merancang untuk memiliki akademi nyanyian sendiri.

“Pada masa hadapan saya berhasrat untuk menubuhkan sebuah akademi nyanyian agar dapat membantu mereka yang ingin mempelajari teknik vokal dengan betul.

“Mengetahui keinginan tersebut agak sukar untuk ditunaikan tetapi insya-Allah, namanya juga perancangan jadi diharapkan ia dapat dilaksanakan,” ujar wanita berusia 25 tahun itu seraya melepaskan ketawa kecil.

Keserasian

Dalam pada berkongsi cerita mengenai keinginannya pada masa hadapan, Ernie pastinya tidak dapat lari daripada menjawab pertanyaan tentang keserasian dengan pemenang tempat kedua Akademi Fantasia 12, Syamel.

Selepas bergandingan menerusi program realiti Duo Star, hubungan Ernie dan Syamel kini dilihat bagai belangkas yang saling setia menemani antara satu sama lain.

Hanya mampu melepaskan ketawa kecil dan menggelengkan kepala, dia mengakui persoalan tentang hubungannya dengan Syamel kerap dilontarkan kepadanya.

Bagi Ernie, wasilah antara dirinya dengan Syamel cukup sekadar teman biasa dan berlandaskan sikap profesional sebagai rakan sekerja.

Ujar anak jati Kuala Lumpur itu lagi, usaha Astro untuk ‘menjodohkan’ mereka di atas pentas Duo Star nyata membuahkan hasil apabila kedua-duanya kini senang untuk bekerjasama.

Penyanyi lagu Ini Yang Ku Mahu itu juga pantas menepis dakwaan kononnya dia cuba menyembunyikan hubungan cinta di sebalik penghasilan lagu bersama.

“Sejujurnya saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak Astro kerana berjaya mewujudkan keserasian antara kami meskipun program tersebut telah lama berakhir.

“Keserasian antara kami menyebabkan orang luar merasakan bahawa saya sedang menjalin hubungan dengannya. Namun, ia sebaliknya berlaku kerana kami berdua hanya sekadar teman sekerja,” terang Ernie panjang lebar.

Ernie juga tidak menafikan keserasian dengan Syamel telah memberi laluan mudah buat mereka bekerjasama menerusi single baharu berjudul Aku Cinta.

“Selepas beberapa kali bekerjasama ketika menjayakan program Duo Star, saya berasa tidak ada masalah sekiranya kami menghasilkan lagu bersama.

“Tambahan, lagu itu juga mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat,” kata Ernie ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri anjurannya bersama kelab peminat baru-baru ini.

Aku Cinta

Melanjutkan cerita mengenai lagu baharunya itu, Ernie tidak menyangka klip video lagu Aku Cinta telah mendapat hampir 500,000 tontonan sejak dimuat naik di YouTube pada 7 Julai lalu.

Kejayaan itu sekali gus menjadi pembakar semangat buatnya untuk terus berusaha mengembangkan bakat dalam industri hiburan tempatan.

Mengulas mengenai klip video tersebut, Ernie memberitahu, dia tidak bersetuju dengan konsep yang telah dipilih oleh pasangan duetnya itu.

Katanya, lirik dan melodi single tersebut menjadi inspirasi buat Syamel menterjemahkan lagu berkenaan secara visual.

“Idea asal datang daripada Syamel tetapi kami tetap mengadakan perbincangan sebelum meraih kata sepakat tentang plot penceritaan dan konsep.

“Kata Syamel, lagu ini seakan menggambarkan kisah dongeng percintaan Beauty And The Beast,” seloroh Ernie sambil melepaskan ketawa besar.



Post a Comment

Previous Post Next Post