Wan Sharmila telah dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu.
PELAKON Wan Sharmila berharap tiada apa-apa yang serius berlaku pada dirinya selepas dia menjalani pembedahan di bahagian belakang pinggang pada Ahad lalu di sebuah hospital.
Wan Sharmila, 36, memuat naik foto dia terlantar sakit dan ia mendapat perhatian netizen pada dua hari lalu.
Rata-ratanya mendoakan kesihatan pelakon wanita tersebut agar cepat sembuh.
Menurut pelakon wanita tersebut, dia dimasukkan ke hospital sejak Jumaat.
Kapsyen yang ditulis Wan Sharmila mendapat lebih daripada 19 ribu tanda suka (likes).
"Insya-Allah saya baik saja. Buat masa sekarang ini, saya hanya menunggu keputusan seterusnya daripada doktor.
"Saya berharap tiada apa-apa yang serius. Apa yang saya boleh beritahu, saya ada buat pembedahan di bahagian belakang (bawah pinggang)," kata Wan Sharmila ketika dihubungi mStar Online, Isnin.
Sementara itu, Wan Sharmila tidak dapat memberi maklumat lebih lanjut mengenai hal itu dan dia mengucapkan terima kasih kepada peminat yang mendoakan kesihatannya.
"Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus memberi semangat dan doa untuk saya cepat sembuh," ujarnya.