Doa Uqasha Senrose dipercepatkan jodoh


TIDAK banyak yang diharapkan oleh pelakon Uqasha Senrose sempena ulang tahun ke-25 kelahirannya yang jatuh pada tanggal 6 Julai lalu.

Selain kesihatan yang berpanjangan, Uqasha hanya mengimpikan sebuah laluan kehidupan yang sempurna yang ditaburi rasa bahagia.

“Tidak banyak yang saya impikan sempena ulang tahun kelahiran yang ke-25.

“Saya cuma berharap agar dipercepatkan jodoh oleh Allah dan dipertemukan dengan lelaki yang mampu melengkapkan hidup saya sebagai seorang wanita,” ujar Uqasha telus pada majlis hari jadi yang diadakan di Mercu Mustapha Kamal, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Biarpun ada yang mengatakan bahawa usianya terlalu muda untuk bercakap soal impian dan perancangan berumah tangga, namun pemilik nama lengkap Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu mengakui telah bersedia untuk mengorak langkah ke fasa seterusnya.

“Bagi saya, usia 25 tahun merupakan waktu yang sesuai untuk berumah tangga. Namun, saya tidaklah terlalu serius ke arah itu.

“Sejujurnya, saya masih lagi mencari. Jika dikurniakan jodoh dalam masa terdekat, saya terima dengan hati terbuka,” katanya sambil tersenyum.

Keraian

Melanjutkan bicara mengenai sambutan hari jadinya yang diadakan secara besar-besaran, Uqasha berkata, majlis tersebut diadakan bukan semata-mata untuk meraikan pertambahan usianya.

Sebaliknya, wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu mahu mengumpulkan rakan-rakan artis dan pihak media dalam sebuah majlis yang santai.

“Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Hero Seorang Cinderella.

“Jadi, majlis ini turut dijadikan sebagai majlis untuk meraikan mereka yang terlibat dalam penggambaran dan bersama pelakon-pelakon lain.


Uqasha Senrose meraikan tarikh istimewa dalam hidupnya, 6 Julai sebagai tanda kesyukuran atas segala kebahagiaan yang dinikmati selama ini terutama graf kariernya yang semakin meningkat dan diterima dalam industri.

“Kebetulan, hari jadi saya jatuh pada bulan Syawal. Jadi, sambutan ini boleh dikira sebagai majlis rumah terbuka hari raya,” katanya yang menjemput sekitar 100 tetamu pada malam tersebut.

Berhubung tema yang dipilih sempena dengan majlis hari jadinya, kakak kepada pelakon Nelydia Senrose itu sengaja memilih Festival Muzik Coachella yang popular di Amerika Syarikat sebagai inspirasi untuk hiasan dan dekorasi.

Ujar Uqasha, konsep tersebut dipilih agar tetamu yang hadir pada majlis anjurannya dapat bersosial dalam keadaan santai.

“Konsep ini begitu mudah kerana saya mahukan sesuatu yang sangat ringkas.

“Pada masa sama, ia bersesuaian dengan setiap aktiviti yang dirancang sepanjang majlis berlangsung,” katanya lagi.

Antara aktiviti santai yang disediakan untuk tetamu termasuklah sesi karaoke, lukisan inai putih dan pertandingan menunggang lembu rodeo.

Selain rakan-rakan artis yang memeriahkan majlis, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh Hael Husaini.

Lakonan

Menyorot kembali susur kariernya dalam industri hiburan, Uqasha mula serius dalam bidang lakonan menerusi filem Paku Pontianak pada tahun 2013.

Kakak tiri kepada pelakon baharu, Raysha Rizrose itu turut menghiasi beberapa drama bersiri popular seperti Sebenarnya... Saya Isteri Dia dan Tundukkan Playboy Itu.

Tidak mahu terus statik dalam berkarya, pada tahun lalu Uqasha pernah mencabar dirinya untuk beraksi di pentas teater menerusi naskhah adaptasi novel, Ombak Rindu.

Sungguhpun graf profesion lakonannya sentiasa meningkat, namun keberkesanan lakonan Uqasha, sama ada di layar kaca mahupun pentas teater sentiasa dianggap ‘tidak sampai’ oleh kebanyakan khalayak.


Sebahagian keluarga besar Uqasha Senrose pada sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-25 dalam suasana santai. Sempena Syawal, sambutan tersebut juga dianggap sebagai rumah terbuka raya bagi diraikan bersama keluarga, kenalan artis dan media.

Sehinggalah dia diberi peluang untuk menggalas watak antagonis bernama Puteri Emallyn dalam Hero Seorang Cinderella pada hujung Mei lalu, justifikasi khalayak terhadap Uqasha mula berubah.

“Pada awalnya, saya agak risau untuk membawakan watak antagonis. Maklumlah, banyak kontroversi yang telah saya lalui sejak tahun lalu, khuatir juga jika penonton tidak suka.

“Namun, saya sendiri terkejut menerima maklum balas positif selepas beberapa episod Hero Seorang Cinderella ditayangkan. Nampaknya ramai yang suka saya menjayakan watak jahat,” ujar Uqasha dalam nada berseloroh.

Ditanya adakah karakternya di luar layar persis Puteri Emallyn sehingga lakonannya meninggalkan kesan pada hati penonton, Uqasha menggelengkan kepala.

“Tidak sama sekali. Saya menjayakan watak mengikut skrip, bukan memasukkan personaliti sendiri dalam setiap babak yang dijayakan.

“Tiada sebarang formula atau resipi rahsia. Apa yang saya lakukan adalah mengkaji tentang watak yang ingin digalas sebelum sesi penggambaran bermula.

“Mungkin disebabkan usaha tersebut, ramai yang menyukai lakonan saya,” katanya yang menyifatkan watak Puteri Emallyn sebagai seorang gadis nakal yang sering mengikut kata-kata ibunya, Puan Sri Mawar lakonan Zizie Ezette.

Walaupun sudah ramai yang mula membuka mata terhadap lakonannya, Uqasha menafikan rasa tertekan untuk memulakan projek terbaharu tidak lama lagi.

“Benar, drama Hero Seorang Cinderella boleh dikatakan sebagai penanda aras terhadap karier lakonan saya setakat ini. Namun, ia bukanlah penyebab untuk saya berasa tertekan dan terus risau dengan pendapat penonton.

“Apa yang penting, saya tidak boleh berasa selesa dengan kedudukan sekarang dan perlu berusaha dengan lebih keras agar persembahan lakonan sampai kepada peminat,” tutup Uqasha.

Post a Comment

Previous Post Next Post