Datuk Vida tiada niat cabar Siti Nurhaliza


PENGASAS Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida meminta pengikut laman sosial supaya berhenti melagakannya dengan penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Menurut Datuk Seri Vida, dia berasa kesal kerana kenyataannya menyeru Siti untuk menyampaikan single popularnya, I Am Me baru-baru ini diputar belit segelintir netizen.

“Saya hanya menyeru Siti untuk menyampaikan single I Am Me dengan versinya sendiri dan tiada maksud lain. Takkanlah Siti akan menyampaikan single saya itu dengan versi gedik pula kan?

“Bila keluar cerita seperti itu, nanti orang fikir saya sudah sombong dan angkuh pula kerana cuba mencabar kehebatan Siti. Sedangkan saya tidak bermaksud sedemikian. Saya sendiri peminat Siti dan teringin mendengar dia menyanyikan single saya itu dengan caranya pula,” katanya.

Datuk Seri Vida juga berharap provokasi itu dihentikan dengan segera kerana tidak mahu ia menjejaskan hubungan dengan Siti sebagai rakan selebriti.

“Saya juga tiada masalah dengan Siti dan kami selalu bertegur sapa apabila bertemu dalam mana-mana majlis,” katanya.

Diminta mengulas dakwaan dirinya ingin bersaing dengan Siti dalam bidang nyanyian pula, Datuk Seri Vida menafikannya sama sekali.

“Memang saya sudah lama terbabit dalam industri hiburan tetapi masih baru dalam bidang nyanyian. Saya juga tidak ada niat langsung untuk bersaing dengan penyanyi hebat sedia ada termasuklah Siti.

“Namun, saya tetap percaya tidak mustahil untuk saya menempa nama sehingga ke peringkat antarabangsa. Apa salahnya saya meneroka bidang ini dan pada masa sama mengetengahkan produk di peringkat global.

“Selepas kejayaan single I Am Me, saya akan tampil dengan single kedua pula,” katanya.

Single I Am Me nyanyian Datuk Seri Vida mencetuskan fenomena luar biasa di dalam mahupun luar negara dengan lebih 3 juta tontonan. Malah, video parodi dihasilkan dalam kalangan artis tempatan dan netizen sejak video lagu berkenaan dilancarkan dua minggu lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post