Yana Samsudin raya di Kedah, rumah terbuka di Johor


Yana Samsudin, berat badannya semakin susut kerana anaknya, Aisy Mateen masih menyusu badan dan tidak mahu minum susu formula.

Setahun selepas melahirkan cahaya mata sulung Aisy Mateen, berat badan pelakon Yana Samsudin dilihat semakin susut meskipun akuinya, dia tidak mengamalkan sebarang diet pemakanan.

Kongsi Yana, 33, berat badannya semakin susut memandangkan anaknya yang mesra dipanggil Mateen masih menyusu badan dan enggan meminum susu formula yang diletakkan di dalam botol. Disebabkan itulah, dia kerap membawa anaknya ke tempat kerja selain sudah terbiasa bersama anak sepanjang hari.

Ikuti perkembangan terkini Yana Samsudin yang bercerita mengenai karier, keluarga dan sambutan Aidilfitri ketika ditemui baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh kongsikan mengenai perkembangan terkini anda?

YANA SAMSUDIN: Alhamdulillah, sejak Mei lalu, saya muncul sebagai pengacara dalam program Bismillah Ad Duha menerusi Astro Oasis (saluran 106). Ia bersiaran selama tiga hari berturut-turut iaitu dari setiap Khamis, Jumaat dan Sabtu pada pukul 10 pagi.

Adakah sekarang anda memang selesa untuk bergelar pengacara? Bagaimana pula dengan dunia lakonan?

Ya, setakat ini saya selesa bekerja sebagai pengacara kerana masa yang fleksibel dan sesuai dengan status saya sebagai isteri dan ibu.

Untuk dunia lakonan pula, insya-Allah selepas sambutan hari raya saya akan kembali ke set penggambaran untuk sebuah drama bersiri terbitan RTM berjudul Cinta Maya.

Fizikal anda kelihatan susut sejak kebelakangan ini. Adakah kerana terlalu sibuk dengan kerja?

Kerja memang kerja tetapi tidaklah sampai membuatkan saya kurus. Apa yang membuatkan berat badan saya susut adalah kerana anak masih menyusu badan.

Umur Mateen sekarang berusia hampir 11 bulan tetapi dia masih tidak mahu minum susu di dalam botol meskipun pernah diajar berbuat demikian. Sebab itu berat badan saya kelihatan susut, bukan kerana diet atau bekerja keras tetapi cuma sibuk dengan anak.


PERTAMA kali menyambut raya bersama cahaya mata, tahun ini Yana Samsudin pulang beraya di kampung halaman suaminya, Fadzil Zahari di Kedah terlebih dulu.

Situasi sebegitu adalah dilema bagi golongan ibu yang bekerja. Jadi, bagaimana anda menyelesaikannya?

Untuk tempoh tiga bulan pertama selepas melahirkan iaitu ketika berpantang, memang dia boleh minum susu botol, selepas itu dia tidak lagi berminat. Pernah juga saya cuba memberikan botol susu kepadanya pada waktu tengah malam, tetapi dia tetap tahu itu adalah botol susu. Malah, saya sudah cuba memberinya susu badan yang dipam tetapi tetap tidak berkesan.

Oleh sebab itu, sejak ada anak saya hanya ambil tawaran kerja yang boleh berkompromi dengan waktu kerja saya. Saya tidak boleh bekerja pada awal pagi kerana ada anak kecil untuk dijaga.

Sebab itu saya juga selalu membawa anak ke tempat kerja. Dia tidak kisah dengan keadaan orang ramai, cuma tidak boleh suasana bising.

Boleh kongsikan mengenai sambutan Lebaran anda sekeluarga pada tahun ini?

Insya-Allah, tahun ini saya akan beraya di kampung halaman suami di Jitra, Kedah. Ini merupakan kali pertama kami menyambutnya bersama anak, jadi perasaan sangat teruja.

Saya akan menghabiskan cuti selama tiga hari di Kedah sebelum pulang beraya di rumah keluarga di Yong Peng, Johor selama tiga hari.

Dalam perancangan, saya mahu adakan rumah terbuka dan sambutan hari lahir Mateen di Yong Peng sebab dia lahir pada minggu kedua Syawal pada tahun lepas.

Post a Comment

Previous Post Next Post