Normah Damanhuri tidak menolak rezeki dalam menjayakan musim kedua drama Misteri Wan Peah.
Sekitar April lalu, nama Wan Peah menjadi tumpuan ramai apabila drama bersiri seram siaran TV3 iaitu Misteri Wan Peah mencatat sejarah dengan rating tertinggi ditonton lebih 10 juta penonton.
Tunjang utama drama diterbitkan JS Pictures itu tidak lain dan tidak bukan, Normah Damanhuri yang bersyukur dengan kejayaan tersebut, malah mendedahkan bersedia menggalas tugas andai drama bersiri berkenaan bersambung untuk musim kedua.
“Ini semua rezeki dan saya memang tidak sangka watak Wan Peah menjadi fenomena. Saya pergi ke mana-mana dari budak kecil sampailah dewasa, menegur dengan panggilan Wan Peah.
“Ditonton lebih 10 juta penonton adalah suatu perkara yang amat mengujakan. Terima kasih kepada Sheila Rusly kerana percaya dengan bakat saya.
“Pada mulanya saya tidak mahu berlakon, namun Sheila yang mendesak kerana tidak mahu wajah saya diburukkan hanya kerana saya berlakon cerita hantu atau seram,” kata Normah, 63, yang ditemui Kosmo! pada sidang akhbar Ritz Suarana Plantation Holding Berhad di Hotel Vistana Kuala Lumpur baru-baru ini.
Fenomena
Tambah ibu kepada lima cahaya mata itu, disebabkan kuasa pujukan Sheila, dia bersetuju untuk membawakan watak Wan Peah dalam drama tersebut.
“Sheila memperincikan kepada saya bahawa drama tersebut bukan cerita seram tapi seram komedi. Disebabkan termakan pujuk rayu dia, saya pun bersetuju,” ujarnya.
Melanjutkan bicara, Normah turut menitipkan sedikit pesanan kepada golongan pelakon generasi muda yang disifatkan sebagai berbakat, namun perlu diasah dengan sempurna.
“Saya banyak berlakon dengan pelakon-pelakon baharu. Kebanyakan mereka sangat berbakat, namun harus diingat bahawa bakat sahaja tidak cukup untuk kekal dalam bidang ini.
“Perlu ada disiplin yang tinggi serta ringankan mulut untuk menegur artis lain tidak kiralah yang lama atau baharu. Janganlah kalau sudah popular, anggap diri akan sentiasa berada di atas,” pesan Normah.
Belum pun fenomena musim pertama drama arahan Azman Yahya (Jinggo) tersebut reda, Normah berkata, dia dan Sheila ada berbincang tentang kemungkinan drama itu bersambung ke musim kedua.
“Insya-Allah kalau ada rezeki mengapa tidak. Sheila sendiri ada memberitahu kepada saya yang dia berminat untuk menyambung drama tersebut. Tunggu dan lihat sahaja nanti,” ulasnya.
Raya
Diajak bersembang perihal Ramadan dan Aidilfitri, Normah mendahulukan kisah bulan puasa yang dirasakan amat cepat berlalu.
“Bulan puasa tahun ini terasa bagaikan pantas berlalu. Pejam celik pejam celik sudah hampir sebulan kita berpuasa. Mungkin ia disebabkan Ramadan tahun ini, saya banyak mengisikan masa dengan pelbagai aktiviti,” kata Normah seraya mengaku mempunyai masa yang terhad bersama keluarga pada bulan Ramadan.
Berkongsi kepada Kosmo!, aktres berpengalaman itu bakal muncul dalam sebuah telefilem istimewa bersempena syawal berjudul Terhentinya Doa terbitan JS Pictures.
“Mungkin telefilem tersebut akan ditayangkan pada malam raya. Menariknya, saya perlu melakonkan watak ibu dengan loghat Negeri Sembilan. Saya memang tidak pandai loghat tersebut tapi saya cuba sedaya upaya.
“Ia sebuah telefilem yang meruntun jiwa. Siapa yang menonton pasti akan mengalirkan air mata,” sambung Normah.
Sebelum menggulung perbualan, dia sempat berkongsi perihal Aidilfitri yang berbaki beberapa hari sahaja lagi.
“Raya memang meriah terutama saya mempunyai keluarga yang besar. Cucu saya berjumlah 15 orang dan kami sekeluarga memilih tema warna kelabu tahun ini,” tutup Normah yang akan beraya di Gombak, Selangor.