SELAMA 14 tahun usia perkahwinan dengan Nor Azah Redzuan, Mark Adam tidak pernah putus asa berusaha untuk memiliki cahaya mata.
NAMA Mark Adam mula dikenali selepas single ciptaannya berjudul Pencuri mencetuskan kegilaan luar biasa dalam kalangan khalayak sekitar empat tahun lalu.
Cemerlang meneruskan fenomena tersebut, Mark tidak pernah gagal melahirkan beberapa lagi lagu hits seperti Si Katak, Marry Me dan Berat. Selain itu, dia juga membikin beberapa material untuk artis lain.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa karier seni lelaki kelahiran Cebu, Filipina itu hanya tertumpu pada bidang muzik. Walhal, Mark yang dilahirkan dengan nama Marcus Adam Echivarre itu turut mempunyai sisi kreatif yang lain.
Bermula dengan penglibatannya sebagai peserta menerusi program komedi Super Spontan dan Juara Paraody pada tahun 2015, status Mark sebagai penghibur mula berubah.
Sisi komedi yang dimiliki Mark telah membuka pintu rezeki lelaki berusia 37 tahun itu dalam mengembangkan bakatnya sebagai pelakon.
Terbuka dengan transisi tersebut, Mark mengakui sentiasa bersyukur dan menyifatkan setiap tawaran yang diterima sebagai tanda rezeki pemberian Allah yang tidak pernah putus.
KOSMO!: Apa khabar Mark, boleh ceritakan sedikit perkembangan terbaharu?
MARK: Saya menjayakan filem animasi yang disiarkan menerusi saluran HBO di Astro, The Secret Life Of Pets dengan meminjamkan suara untuk watak kucing bernama Reginald. Ia bakal ditayangkan bersempena hari raya pertama pada 25 Jun ini.
Anda begitu kerap dilihat di kaca televisyen sebagai pelakon. Ia seperti anda mahu mencuba cabang seni baharu?
Sejujurnya, setiap tawaran yang diterima, datang secara spontan. Bahkan, saya menerima tawaran tersebut berdasarkan kemampuan diri. Jika saya mampu, ia akan diterima dan memberikan komitmen sepenuh hati.
Melihat kecenderungan program televisyen yang dijayakan anda, kebanyakannya merupakan genre komedi. Adakah anda tidak kisah digelar pelakon komedi atau pelawak?
Saya tidak kisah dengan kritikan tersebut kerana ia membuatkan saya berfikir ke arah memperbaiki kelemahan diri. Kadangkala, jika saya serius, orang akan berpendapat ia satu perkara yang melucukan. Tidak mengapa, asalkan saya tahu ia mampu membuat orang tersenyum.
Bagaimana pula dengan bidang muzik? Adakah anda masih mencipta lagu?
Muzik masih menjadi keutamaan dalam perjalanan seni saya. Terbaharu, saya telah melancarkan single berjudul Bukan Cinta. Cuma, saya cuba memperlahankan karier nyanyian. Bagi saya, biarlah penyanyi baharu mengambil peluang mencipta nama. Saya percaya, peluang dan rezeki perlu dikongsi bersama.
Bercakap mengenai rezeki, perkahwinan anda dan isteri, Norazah Redzuan, 36, kini telah menjangkau usia 14 tahun. Justeru, berhubung cahaya mata pasti kerap menjadi persoalan, setakat ini ada sebarang perkembangan?
Kami masih cuba untuk mendapatkan anak. Bagaimanapun, rezeki di tangan Allah. Apa pun ketentuan-Nya, kami terima dengan hati terbuka. Pada masa sama, kami beruntung kerana dikelilingi rakan-rakan yang memahami. Anak-anak mereka juga telah dianggap seperti anak sendiri. Sebagai contoh, kami sering ke rumah pelawak Shuib Sepahtu dan isterinya, Sarah Raisuddin untuk bermain dengan anak-anak mereka. Sejujurnya, ia satu perkara yang menyeronokkan.
Boleh kongsikan sedikit perancangan hari raya anda tahun ini?
Saya sudah berbelas tahun menyambut hari lebaran di Kuala Lumpur (KL) termasuk tahun ini bersama keluarga isteri. Saya akan kembali bekerja jika ada tawaran nyanyian pada hari raya keempat nanti.