KALI ini, sambutan lebaran aktres jelita, Juliana Sophie Johari Evans bakal membawa 1,001 perbezaan.
Tambahan pula, selebriti berusia 27 tahun ini sudah berstatus isteri kepada kerabat diraja, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj, sejak April lalu.
Masih dalam fasa sesuaikan diri, bintang filem Alif Dalam 7 Dimensi ini mengakui teruja bakal menyambut Syawal bersama insan tersayang.
“Alhamdulillah, raya tahun ini pasti lebih bermakna dan berbeza kerana saya dah bergelar isteri.
“Dah tentu saya teruja sebab inilah masa untuk saya dan suami mengenali semua ahli keluarga,” katanya kepada Media Hiburan.
Memilih untuk beraya di Shah Alam, Juliana bagaimanapun akan pulang ke kampung halamannya di Bagan Datoh, Perak pada hari raya ketiga.
“Suami belum sampai di sana lagi. Saya pun tak tahu, dia pernah beraya dalam suasana kampung atau tak.
“Sebab itu, saya tak sabar nak bawa dia ke sana nanti. Pasti saya juga akan selalu berkepit dengan suami nanti.
“Saya rasa it’s nice to bring my husband to see my family di samping meluangkan masa bersama-sama,” katanya sambil tertawa.
Bahkan, penggemar rendang tok, soto dan lontong ini mengakui kehidupannya semakin bermakna selepas dua bulan bergelar isteri.
“Hidup saya sangat indah dan berbeza. Dulu, saya hanya fikir keperluan sendiri tapi sekarang untuk suami pula malah keluarga juga lebih besar.
“Tentunya, ia buat hidup saya lebih ceria. Jujurnya, saya sangat bersyukur dengan kehidupan baru ini,” katanya.
Bagaimanapun, pasangan sejoli ini masih belum berkesempatan berbulan madu disebabkan kesibukan dengan tugasan masing-masing.
Malah, katanya, majlis resepsi yang pada mulanya dirancang selepas Hari Raya Aidilfitri ini juga ditunda pada November depan.
“Asalnya nak buat lepas raya, tetapi banyak perkara perlu dirancang. Lagipun masing-masing sibuk, jadi rasanya November sesuai,” katanya.
Lebih selektif
Walaupun kehidupan berprotokol, Juliana bertuah kerana keluarga mertua dan suaminya bersikap terbuka.
“Alhamdulillah, saya melalui pelbagai perubahan dalam hidup sejak kahwin.
“Dulu tidur ditemani ibu dan adik, hari ini buka saja mata suami ada di sebelah.
“Dah tentu, ia pengalaman baru untuk saya dan sesiapa saja yang baru bergelar isteri,” katanya.
Bahkan, pelakon drama Sayang Cendana ini juga bersyukur apabila keluarga mertua menyokongnya untuk aktif dalam bidang seni, selain beri galakan dalam bidang perniagaan.
Bintang filem KIL ini terpaksa lebih selektif terhadap watak ditawarkan.
“Sebenarnya, dah lama saya selektif terhadap tawaran berlakon. Lagi pula, saya lebih suka berlakon filem.
“Untuk berlakon drama, mungkin saya tak akan terimanya sebab kena komitmen yang sangat tinggi.
“Lagipun, saya dah semakin aktif bergiat dalam bidang perniagaan iaitu barang kemas, Jevans Jewelry,” katanya yang bakal mempromosikan filem Bella & Jamie selepas raya nanti.
Juliana juga terbabit meminjamkan suara menerusi filem komedi animasi, The Secret Life of Pets.
“Karakter saya sebagai suara Katie. Wataknya tak terlalu banyak berbanding karakter lain apatah lagi fokus intipati cerita terarah kehidupan haiwan peliharaan itu,” katanya.
Filem itu turut membabitkan 15 selebriti tempatan antaranya Fahrin Ahmad, Sherry Alhadad, Nabil Ahmad, Hisyam Hamid, Nora Danish, Shahrol Shiro, Zarul Husin dan Mark Adam.
Tayangan perdana The Secret Life of Pets boleh disaksikan pada Ahad, 25 Jun depan, jam 8 malam di HBO.