Juliana Evans sambut Aidilfitri pertama sebagai isteri


Juliana Evans meminjamkan suaranya untuk watak Katie dalam filem animasi versi bahasa Melayu, The Secret Life of Pets yang bakal ditayangkan pada hari raya pertama.

Sejak mendirikan rumah tangga dengan kerabat diraja Johor dan Selangor, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj, pada hujung April lalu, kehidupan pelakon jelita, Che Puan Juliana Evans berubah.

Juliana atau Jue mengaku beliau masih menyesuaikan diri untuk menjalani hidup sebagai isteri kepada golongan kerabat diraja. Katanya, dia masih individu yang sama sebagaimana orang mengenalinya dahulu.

Ditemui pada sidang akhbar program istimewa Aidilfitri HBO, Secret Life of Pets di Hotel St. Regis Kuala Lumpur baru-baru ini, Jue memberitahu, beliau tidak menerima halangan daripada suami untuk terus berkecimpung dalam industri hiburan tanah air.

Bagaimanapun, pelakon filem Aliff Dalam 7 Dimensi itu mengambil keputusan untuk lebih bersikap selektif terhadap tawaran yang datang pada kemudian hari kerana menjaga status dirinya sebagai isteri.

KOSMO!: Bagaimanakah kehidupan Jue selepas lebih sebulan bergelar isteri orang?

Juliana: Sangat indah dan berbeza dari waktu-waktu muda dahulu. Sekarang keluarga lebih besar dan tentunya kehadiran mereka membuatkan kehidupan saya lebih ceria.

Bagaimanakah anda membiasakan diri dengan protokol istana?

Alhamdulillah, banyak yang saya kena belajar terutama dari segi percakapan. Saya sedang mencuba sedaya upaya. Keluarga mertua saya sangat memahami.

Boleh kongsikan pengalaman berpuasa dengan suami setakat ini?

Puasa tahun ini tentunya lain sedikit kerana saya sudah bersuami. Saya boleh kata ia lebih bermakna. Untuk raya nanti, hari raya pertama dan kedua, saya akan beraya di kediaman suami di Shah Alam, Selangor. Hari raya ketiga, saya dan suami akan pulang ke kampung halaman saya di Bagan Datoh, Perak.

Jarang melihat anda membawa suami bersama dalam majlis-majlis hiburan. Adakah anda masih belum bersedia atau suami memang tidak gemar berada dalam dunia glamor seperti anda?

Sebenarnya, suami saya sangat sibuk. Barangkali ada segelintir pihak yang beranggapan saya cuba menyembunyikannya, namun kami baru kahwin. Insya-Allah, tidak lama lagi anda semua akan boleh melihat kami lebih kerap bersama di hadapan khalayak umum.

Baiklah, bagaimana dengan penerimaan suami mengenai penglibatan anda dalam dunia seni?

Sejujurnya, dia sangat menyokong apa sahaja perkara yang saya lakukan. Malah, keluarga mertua menyokong niat saya untuk terus berada di dalam bidang ini. Saya sangat bersyukur kerana mereka menyayangi dan memahami saya.

Adakah anda akan bersifat lebih selektif terhadap tawaran berlakon selepas ini?

Sebenarnya sudah lama saya selektif terhadap tawaran berlakon. Saya lebih suka untuk berlakon filem. Kalau diberi tawaran berlakon drama, mungkin saya tidak akan menerimanya kerana komitmen untuk berlakon drama sangat tinggi terutama kini saya sudah bersuami.

Lagipun kini saya aktif bergiat dalam bidang perniagaan iaitu barang kemas, Jevans Jewelry.

Apa perbezaan terbesar sebelum dan selepas kahwin?

Bezanya kalau dahulu saya bangun tidur nampak muka ibu dan adik. Sekarang apabila sudah bergelar isteri, bangun tidur muka suami yang akan pertama saya pandang. Ia adalah satu perkara yang merubah diri saya sebagai seorang wanita.

Post a Comment

Previous Post Next Post