TIDAK hanya berlakon, Izara Aishah juga bergelar usahawan kosmetik di bawah jenama, Madame Izara.
Mengukuhkan lagi portfolio, selebriti berusia 25 tahun ini baru sahaja mengeluarkan produk pertamanya, gincu bibir atau matte lipstick dalam tiga pilihan warna berbeza.
Izara sendiri mengakui tidak pernah terfikir akan keluarkan jenamanya sendiri tetapi mula serius selepas ada usikan individu dan rakan-rakan.
“Sampai sekarang, saya masih lagi tak percaya. Semuanya terasa bagaikan mimpi,” katanya kepada Media Hiburan.
Mengulas lanjut, katanya, gincu bibir itu dikeluarkan selepas lebih dua tahun menjalani proses kajian dan penyelidikan (R&D) kerana Izara cerewet dan mementingkan kualiti produk.
“Lagipun, ini bukan produk rebranding, ambil gincu yang dah siap, tampal jenama saya, sebaliknya ia adunan asli yang saya hasilkan sendiri. Teksturnya juga berbeza berbanding gincu. Eksklusif!,” katanya.
Dalam pada itu, sebagai usaha mempromosikan produknya itu, bintang filem J Revolusi ini akan muncul dalam drama web bersiri, Madame’s Diary, bulan depan yang memaparkan kehidupan hariannya menjalankan tugas sebagai Pengarah Kreatif di syarikatnya, A Klasse selain perjalanan hidup sebagai insan seni.
Kata Izara yang bertindak sebagai pengarah, penggambaran akan dimulakan tidak lama lagi dan setiap episod berdurasi antara lima hingga 10 minit di laman www.madameizara.com mulai 1 Julai.
”Ini adalah eksperimen pertama saya dalam bidang pengarahan dan saya harap semuanya berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu, berbicara mengenai kerjaya seninya, Izara bersyukur apabila masyarakat semakin menyedari bakat lakonannya.
“Saya tak pernah rasa puas berlakon. Masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan diperbaiki.
“Sekurang-kurangnya saya gembira apabila ada yang menyedari kebolehan saya berlakon,” jelasnya yang mendapat pujian ramai menerusi telefilem Ramadan Terindah Nurani.
Pada masa sama, Izara turut meletakkan harapan untuk berlakon dalam pelbagai genre filem pada masa akan datang.
Dalam perkembangan lain, heroin Pilot Cafe ini juga bakal tampil dalam drama bersiri terbaru, Dia untuk TV3 pada November nanti.