Yana Samsudin Tegur attitude bintang baru


UMUM sedia maklum penglibatan bintang ini dalam bidang seni bermula sebagai penyanyi dan pelakon. Selepas itu barulah pemilik nama Norliana Samsudin atau lebih dikenali Yana Samsudin ini, mula popular sebagai pengacara dan mendapat perhatian apabila mengarah filem Selamat Pagi Cinta (2008) pada usia 23 tahun.

Biarpun tidak melalui jalan sukar untuk dikenali, namun Yana tidak pernah ambil kesempatan malah sentiasa cari peluang untuk belajar agar dapat meletakkan diri ke tahap lebih baik.

Bagaimanapun sikap itu sukar dilihat pada artis baru masa kini. Situasi itu menyebabkan Yana agak kecewa.

Ujar Yana, kebanyakan pelakon dulu menyertai industri seni kerana minat dan bekerja keras memastikan diri mereka terus kekal dalam industri.

Bagaimanapun berbeza dengan bintang baru kini yang lebih galak untuk bercuti walaupun baru sahaja terlibat dengan beberapa projek.

“Berkenaan status saya (status Facebook beberapa minggu lalu) mengenai bakat baru, bukan ditujukan secara spesifik pada seseorang. Konsepnya siapa makan cili dia terasa pedas.

“Pada pendapat saya, pelakon dulu sangat sayangkan industri dan mereka kerja keras untuk terus kekal. Mereka juga buat bukan kerana duit dan tak suka ambil kesempatan.

“Tapi apa yang saya dengar, ada antara bintang baru yang kerja untuk duit, kemudian pergi bercuti. Malah demi memuaskan keinginan itu mereka sanggup terima apa sahaja tawaran sebab duit.

“Bagi saya, kalau nak bercuti, bila-bila pun boleh sebab tempat tu takkan hilang. Lima tahun lagi pun lokasi itu masih ada dalam industri.

“Dulu saya tak berani nak ambil cuti lama-lama atau asyik pergi bercuti sebab saya anggap mereka yang bercuti ini sudah kukuh kedudukannya dalam industri,” jelasnya.

Akui Yana, dia bukanlah mahu semua orang ikut apa yang pernah dilakukannya dahulu, namun baginya setiap bakat baru itu perlu menimba ilmu sebanyak yang mungkin.

“Kalau dah tahu kita masuk industri kosong, kita penuhkan. Pergi belajar atau masuk kelas.

“Kalau kita rasa kita sebenarnya tak berbakat jadi pelakon, kita buat benda lain. Tapi jangan buat sesuatu sebab duit semata-mata,” katanya.

Semakin ligat

Berkongsi perkembangan terkini, ibu kepada Aisy Mateen ini berkata, dia sudah kembali aktif dalam bidang seni.

Namun untuk peringkat awal, Yana belum berani untuk terima sebarang peranan utama dan lebih tertarik sebagai pengacara.

“Saya akan tampil untuk beberapa program sempena Ramadan bersama Astro.

“Untuk berlakon pula, saya hanya berani terima watak macam dalam drama Jadikan Aku Yang Kedua. Saya belum berani terima watak utama lagi sebab Manteen masih menyusu badan.

“Lainlah mengacara kerana ia tak ambil masa lama berbanding berlakon. Sekarang ni pun, saya masih bawa anak ke mana-mana sahaja,” ujar Yana.

Tambah wanita berusia 33 tahun ini, dia merancang untuk memasuki set penggambaran filem aksi selepas Aidilfitri.

Bagaimanapun belum pasti lagi untuk berbuat demikian.

“Patutnya saya merancang untuk shooting bulan September tahun lepas. Tapi sebab saya dinasihatkan untuk tidak lasak, jadi saya terpaksa tangguh dulu.

“Saya harap dapat buat penggambaran lepas raya nanti tapi tak pasti lagi. Harap jadilah,” katanya yang kini sibuk dengan beberapa projek lain seperti menjadi moderator mengenai program keusahawanan.

Post a Comment

Previous Post Next Post