SERING menerima panggilan dan gangguan daripada individu tidak dikenali, Nabil Ahmad akhirnya mengambil keputusan untuk menukar nombor telefon peribadinya.
Menurut Nabil, nombor telefonnya serta beberapa rakan artis lain telah disebarkan oleh pihak tertentu di internet sehingga membuatkan dia menerima pelbagai gangguan.
"Saya syak nombor telefon saya sudah diketahui umum dan ia disebarkan oleh pihak tertentu di internet sejak beberapa bulan lalu.
"Saya sayang untuk tukar kerana ia adalah nombor telefon untuk kerja dan semua klien saya tahu nombor ini. Dalam pada itu, saya juga tidak tahan sering menerima panggilan daripada kanak-kanak.
"Mereka juga masukkan saya dalam grup WhatsApp tertentu, bukan saya sahaja, ada beberapa artis lain termasuk Lisa Surihani juga mengalami perkara sama," ujarnya kepada mStar Online.
Nabil ditemui pada majlis Sembang Santai Jakel Barulah Raya 2017 yang diadakan di Jakel Mall, di sini.
Dalam pada itu, Nabil berkata, dia sudah memaklumkan nombor telefon baharunya kepada semua klien dan rakan media secara peribadi.
"Saya sudah hantar mesej kepada semua kenalan saya dan beritahu tentang nombor yang baru ini. Saya harap kerja saya berjalan lancar.
"Kalau tidak tukar macam-macam gangguan datang terutamanya pada waktu malam," ujarnya.