Perebutan RM100,000 juara Gema Gegar Vaganza


PIHAK produksi Gema Gegar Vaganza memberi peluang kepada keenam-enam peserta untuk bertanding pada final program realiti tersebut pada 21 Mei ini.

TIADA apa yang lebih mengejutkan dalam program realiti nyanyian Gema Gegar Vaganza minggu lalu apabila semua peserta peringkat separuh akhir diumumkan layak ke final pada Ahad depan.

Pengumuman itu cukup melegakan peserta yang terdiri daripada kumpulan nasyid popular tanah air iaitu Hijjaz, Miwarna, UNIC, Saujana dan dua penyanyi solo, Hafiz Hamidun serta Azmi Caliph Buskers.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Ahmad Fuad Mat Ali, keputusan itu dibuat selepas pihaknya melihat kesungguhan kesemua peserta termasuklah kumpulan Saujana yang berada di tangga terbawah dengan markah sebanyak 61.67 peratus.

“Pihak kami memang tidak menentukan lagi format final pada peringkat awal. Selepas melihat kesungguhan semua peserta pada peringkat separuh akhir, saya memutuskan untuk semuanya diberi peluang ke final.

“Saujana memang di tangga paling bawah tetapi setiap minggu mereka ada peningkatan,” kata Ahmad Fuad.

Tidak sekadar membenarkan semua peserta berentap pada final, keputusan pihak produksi juga dipersoalkan apabila tiga kumpulan mendapat lagu nyanyian asal masing-masing untuk dinyanyikan. Hijjaz memperoleh lagu sendiri berjudul Fatamorgana, begitu juga Saujana dengan lagu Penerang Hati dan UNIC diberi lagu Ainul Mardhiah.

Jelas Ahmad Fuad, kumpulan yang diberi lagu nyanyian asal mempunyai cabaran yang lebih besar. Hal ini kerana mereka terpaksa menggubah susunan lagu supaya ia kedengaran berbeza dan segar.

“Sebenarnya setiap penyanyi telah menyenaraikan 100 buah lagu kepada pihak produksi. Bagaimanapun, mereka tidak akan tahu lagu mana yang akan dipilih. Bagi saya, keputusan itu adil kerana bukan mudah sebenarnya untuk memberi nafas baharu dalam lagu yang telah dinyanyikan bertahun-tahun,” ujar Ahmad Fuad.

Lebih menarik, peserta juga diberi tugasan untuk menyanyikan dua buah lagu. Satu lagu dinyanyikan secara solo, manakala lagu kedua secara battle bersama peserta lain.

Peluang

Sementara itu, kumpulan Miwarna yang mendapat markah tertinggi iaitu sebanyak 81.17 peratus pada peringkat separuh akhir dengan persembahan cemerlang mereka menerusi lagu Satu Qiblat Yang Sama (Rabbani) dan The Climb (Miley Cyrus) cukup terkejut apabila diumumkan mara ke final.

“Kami bersyukur semua orang dapat ke final kerana dalam program ini, semua umpama keluarga walaupun hakikatnya sedang bertanding.

“Besar harapan kami, selain persembahan mencuri perhatian peminat, dakwah yang dilakukan sampai kepada semua pihak,” ujar Miwarna yang akan mendendangkan lagu Ya Rasulullah (Raihan) dan battle dengan Hijjaz menerusi Alhamdulillah (Yassin feat Too Phat) pada peringkat final.

Kumpulan Saujana pula memberitahu, mereka langsung tidak menyangka akan diberi peluang untuk mara ke final meskipun berada di tempat tercorot.

Menyifatkan peluang yang diberikan itu sebagai rezeki, Saujana berazam mahu memberikan persembahan terbaik buat penonton.

“Kami sebenarnya pasrah untuk disingkirkan dengan markah terendah. Boleh dikatakan saban minggu kami merupakan kumpulan paling bawah. Sebenarnya kami semua terlupa bahawa ini pertandingan dan menyangka ia hanyalah program nyanyian biasa.

“Pada minggu keempat, baru kami tersedar bahawa orang lain bersungguh-sungguh dan cukup kreatif dalam melakukan persembahan. Kami memohon maaf kepada peminat Saujana terhadap kealpaan dan berjanji akan memberi persembahan terbaik pada final kelak,” tutur Saujana bersemangat.

Dalam minggu separuh akhir, Azmi Caliph Buskers turut menerima Anugerah Gema Terindah kategori Kekal Mantap kerana prestasinya yang begitu konsisten setiap minggu untuk membawa pulang wang tunai berjumlah RM8,000. Bagaimanapun, wang kemenangannya itu diberikan kepada badan amal.

Program Gema Gegar Vaganza diadili sepenuhnya oleh juri profesional iaitu komposer dan penerbit, Farihin Abdul Fattah dan Oki Setiana Dewi.

Juara pertama program realiti tersebut bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 dan trofi. Tempat kedua pula akan menerima wang tunai sebanyak RM30,000, ketiga RM20,000 dan keempat RM10,000.



Post a Comment

Previous Post Next Post