ADIRA Suhaimi memberitahu anaknya, Anggerik yang kini berusia dua bulan begitu gemarkan kamera, sama seperti dirinya.
Bergelar ibu kepada cahaya mata perempuan yang diberi nama Anggerik sejak 10 Mac lalu, penyanyi Adira berkongsi pengalaman menguruskan anak sulung hasil perkahwinannya dengan Datuk Adenan Abu.
Selepas dua bulan bergelar ibu, Adira atau nama lengkapnya, Siti Adira Suhaimi, 25, memberitahu Anggerik telah banyak mengubah corak kehidupannya. Aktiviti hariannya banyak dihabiskan dengan menguruskan Anggerik selain dia sendiri mengaku sayang untuk berenggang dengan anak sulungnya itu.
Dalam pada itu, Adira yang dicalonkan menerusi kategori Artis Sensasi dalam Anugerah Bintang Popular 3.0 turut berkongsi mengenai cara dia berpantang sehingga mampu menurunkan berat badan lebih daripada 20 kilogram (kg) dalam tempoh dua bulan.
Kosmo!: Apa khabar Adira? Bagaimana kehidupan sekarang selepas bergelar ibu?
Adira: Baik Alhamdulillah. Sebenarnya, saya rindu menyanyi dan jenis yang tidak suka duduk diam di rumah. Jadi, selepas habis pantang, saya rasa sudah bersedia untuk kembali menyanyi. Bagaimanapun, sebagai seorang ibu, banyak perkara yang harus dikorbankan tapi saya sangat bahagia sekarang.
Bagaimana dengan perkembangan Anggerik, boleh kongsikan sedikit mengenainya?
Berat badannya sekarang sudah mencecah 6 kg. Sekarang, kalau boleh pergi ke mana-mana pun saya ingin bawa Anggerik. Bagaimanapun, apabila dia sudah semakin membesar, saya kena beri kepercayaan kepada pembantu rumah untuk menjaganya.
Hal ini kerana saya mahu kembali aktif menyanyi. Jika diikutkan, memang berat hati untuk meninggalkannya kepada orang lain, tetapi saya perlu mengorbankan perasaan itu.
Sesetengah selebriti tidak mempercayai pembantu rumah dalam hal menjaga atau menguruskan anak yang masih kecil, apakah pendapat anda?
Bagi saya, itu terpulang kepada masing-masing. Segelintir selebriti yang sudah berkeluarga mungkin mengambil langkah berjaga-jaga apabila banyak kes penderaan kanak-kanak berlaku.
Saya pula memang mempunyai hubungan yang cukup baik dengan pembantu rumah dan kami mengenali antara satu sama lain sudah lama. Jadi, memang tiada masalah buat masa sekarang.
Baiklah, apakah rahsia anda mampu menurunkan berat badan dengan drastik selepas melahirkan Anggerik?
Semasa hamil, berat badan saya mencecah sehingga 74 kg. Bagaimanapun, selepas habis pantang dan dalam tempoh dua bulan bersalin saya hilang lebih 20 kg dan kini berat saya hanya 49 kg.
Sejujurnya, saya memang tidak mengamalkan diet dan senaman kerana bersalin secara pembedahan. Saya hanya berpantang seperti biasa. Barangkali kerana menyusu badan menjadi antara punca saya cepat kurus.
Saya juga tidak minum minuman berais dan mengelak makanan berminyak. Saya mahu mendapatkan berat ideal semula iaitu 42 kg.
Sama seperti anak selebriti popular lain, Anggerik juga mempunyai akaun Instagram. Adakah anda memang bersifat terbuka untuk berkongsi perkembangan anak dalam Instagram?
Saya tidak mempunyai masalah dengan hal itu. Ia untuk kemudahan anak juga apabila sudah besar nanti.
Dia boleh melihat gambar atau videonya ketika kecil. Sejak Anggerik lahir lagi saya tidak pernah ingin menyembunyikan perkembangannya kerana sedar saya seorang selebriti.
Boleh kongsikan perkembangan seni terbaharu?
Buat masa ini, kerjaya saya berjalan perlahan kerana baru habis berpantang. Bagaimanapun, saya sudah mula menerima banyak undangan nyanyian untuk majlis korporat.
Walaupun saya rindu untuk menyanyi, namun dengan status baharu sebagai ibu, banyak perkara yang perlu saya pertimbangkan terlebih dahulu sebelum bersetuju memberi komitmen kerja.