Anis Al Idrus bersama bakal suaminya Aiman Rafzan.
Status duda tidak menjadi masalah kepada aktres Anis Al-Idrus untuk memilih Aiman Rafzan sebagai bakal suami pada 7 Julai depan.
Anis, 29, berkata, dia sendiri sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai ibu segera kepada anak lelaki Aiman atau nama sebenarnya Mohd Rafzan Nuhikmal Abdul Halim, 35, yang kini sudah berusia 10 tahun.
"Saya tidak kisah dengan status dia sebagai duda dan sudah mempunyai seorang anak, malah anak dia juga sudah boleh menerima saya sebagai ibu.
"Saya terima dia seperti mana dia menerima saya seadanya. Lagi pula dia berjaya buka hati saya untuk memikirkan tentang masa depan," ujarnya kepada mStar Online.
Anis ditemui pada majlis sidang media pengumuman tarikh perkahwinan iaitu pada 7 Julai depan yang akan berlangsung di De'Laman Event Space, di sini, pada Selasa.
Menurut penyanyi lagu Mengapa ini, majlis pernikahan itu akan diadakan dalam keadaan sederhana yang hanya dihadiri rakan-rakan yang rapat dengan dirinya sahaja.
arga yang tidak mahu mengadakan majlis resepsi secara besar-besaran.
"Atas permintaan keluarga saya majlis ini berlangsung secara sederhana yang hanya dihadiri 350 orang tetamu. Keluarga juga tidak mahu ada perarakan atau persandingan.
"Jadi, majlis itu nanti cuma akad nikah dan makan-makan sahaja, tapi ada pelamin untuk tetamu bergambar. Bukan apa, keluarga kami memang jenis yang tidak adakan majlis resepsi besar-besaran.
"Saya jemput kawan-kawan dan media yang rapat, serta beberapa rakan artis yang baik dengan saya sahaja," ujarnya.
Dalam pada itu, menceritakan detik perkenalan tiga bulan lalu, Aiman berkata, dia terpikat kepada kecantikan wajah Anis ketika pertama kali bertemu.
Katanya, sebagai pereka hiasan dalaman, dia mengakui sering tertarik kepada sesuatu yang cantik.
"Adik saya rakan baik dia, kami berkenalan pada awal Januari lalu dan saya akui jatuh cinta pandang pertama. Saya tertarik dengan kecantikkan dan caranya yang manja dan sopan," katanya.
Terdahulu, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 24 Mac lalu dalam sebuah majlis tertutup.