KEADAAN kesihatan pelakon dan penyanyi Indonesia, Julia Perez atau mesra disapa Jupe semakin membimbangkan ekoran penyakit kanser pangkal rahim yang dihidapinya.
Menurut adiknya, Nia Anggia, keadaan kesihatan kakaknya itu semakin menurun malah dia sukar mengenali beberapa orang yang berada di sekelilingnya sejak seminggu lalu.
"Seminggu ini kondisinya menurun. Pihak keluarga dan doktor berusaha untuk tidak menerima ramai tetamu kerana kondisi Jupe makin lemah.
"Daya ingatan Jupe juga semakin lemah dan sudah mula tidak mengingati orang dengan baik.
"Ada yang kenal dan ada juga tidak kenal, dia perlu diingatkan," kata Nia Anggia dipetik Bintang.com.
Kata Nia lagi, ia mungkin kesan daripada ubat atau rawatan seperti kimoterapi, MRI dan sebagainya yang dilakukan Jupe.
"Saya tidak tahu ia berlaku kerana ubat. Masih belum tahu dan kami sedang mencari penyebabnya.," katanya.
Julia Perez telah disahkan menghidap penyakit barah pangkal rahim tahap empat.