PENYANYI yang masih setia dan selesa dengan muzik dangdut, Ifa Raziah, kini merancang melebarkan kerjayanya di Indonesia, menerusi penghasilan single dangdut terbaru yang bakal dipasarkan di negara itu.
Projek istimewa yang diaturkan syarikat rakamannya Sony Music, dijangka bermula sekitar Mei depan dan selepas sambutan Aidilfitri nanti. Penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Ser.. Ser.. Ser.. ini akan meluangkan lebih banyak masa di sana untuk aktiviti promosi.
“Alhamdulillah peluang yang sudah lama saya nantikan dan akhirnya bakal menjadi kenyataan di mana pihak syarikat rakaman sudah memberi lampu hijau untuk memulakan projek ini.
“Oleh kerana penghasilan single terbaru ini memang khas untuk pasaran Indonesia, semestinya kami akan guna khidmat komposer mereka, malah proses rakaman berlangsung di Indonesia sepenuhnya.
“Insya-ALLAH jika segalanya berjalan seperti yang dirancang, selepas raya nanti saya akan terlibat dengan penggambaran muzik video pula, selain pelancaran dan aktiviti promosi menyusul selepas itu,” jelasnya yang bakal berulang-alik Kuala Lumpur-Jakarta.
Menyifatkan peluang itu strategi terbaik membina nama di luar negara, Ifa mahu buat persediaan secukupnya.
“Tahun lalu, saya dijemput menjadi komentator program Akademi Dangdut Asia dan insya-ALLAH akan terlibat lagi sekali pada tahun ini, di mana ia menjadi medium terbaik untuk memperkenalkan diri kepada peminat.
“Tidak sekadar itu, saya juga dapat kenal ramai penggiat seni terutamanya yang terlibat secara langsung dengan muzik dangdut dan ia banyak membantu saya mempersiapkan diri,” ujar Ifa yang bakal muncul dalam konsert dangdut di Singapura bersama Dewi Persik dan Rosalina.
Mengakui tidak kekok berbahasa Indonesia, Ifa memberitahu pernah diberikan tawaran untuk berlakon sinetron, namun terpaksa ditolak kerana terikat komitmen di tanah air.
“Kalau ikutkan hati, memanglah saya nak sangat ambil peluang itu untuk mengembangkan kerjaya, tetapi komitmen untuk sesebuah sinetron mengambil masa yang terlalu lama.
“Episod mereka sampai beratus-ratus dan ambil masa penggambaran selama berbulan. Ada yang sampai bertahun, sedangkan saya terikat dengan kerjaya saya di tanah air sama ada dalam bidang nyanyian mahupun pengacaraan,” ujarnya.
Pakai tudung setiap Jumaat
Dalam perkembangan lain, ramai peminat memuji penampilan Ifa bertudung ketika terlibat dalam sebuah acara di Kota Bharu.
“Alhamdulillah dan terima kasih atas pujian dan doa-doa daripada peminat yang mengharapkan saya menjadi insan lebih baik dari hari ini.
“Tidak sangka pula penampilan selama dua hari di Kelantan sempena acara anjuran Mood Republik itu menarik perhatian.
“Jujurnya saya akui selepas dua hari memakai tudung, bila balik KL dan kembali kepada penampilan asal saya ada rasa lain,” akuinya berterus-terang.
Ifa juga sentiasa mengharapkan yang terbaik buat dirinya, malah mengakui mempunyai hasrat memakai tudung sepenuhnya.
“Sebenarnya bukan hanya ketika di Kota Bharu, tetapi sejak dua tiga bulan lalu, setiap hari Jumaat saya biasakan diri memakai tudung bila keluar rumah jika tidak terlibat aktiviti seni.
“Nak jadi baik bukan senang dan ia ambil masa, jadi saya mulakan dengan usaha-usaha kecil, namun saya percaya bila tiba masa semuanya dipermudah.
“Soal pemakaian tudung itu tuntutan agama dan agak sensitif, tetapi saya ingin katakan jika sudah tiba masa saya bertudung litup, saya mahu buat kerana ALLAH sekali gus harapkan hati tidak berbolak-balik,” tegasnya.
Pun begitu, jika selepas ini tampil bertudung, kata Ifa dia tetap meneruskan nyanyian seperti biasa.
“Kalaulah saya bertudung nanti, saya mahu bertudung dengan cara betul dan pakaian saya juga akan selari dengan imej bertudung saya.
“Saya tidak akan lepaskan kerjaya nyanyian, tetap setia dengan dangdut, cuma mungkin gaya persembahan berubah ke arah lebih Islamik,” kata Ifa kepada Media Hiburan.