PENGACARA, Datuk Aznil Nawawi meminta semua pihak diminta berhenti mengungkit isu kontroversi melibatkan pengacara, Najip Ali berkaitan dengan komen menghina beliau kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, Najip sudah pun menyesali perbuatannya dan meminta maaf secara terbuka maka wajarlah orang ramai mengambil perkara tersebut sebagai pengajaran.
“Saya bukannya hendak membela Najip , tetapi saya lihat situasi itu dari perspektif yang cukup luas, kalau dia tidak buat salah, kita tidak akan dapat belajar.
“Kesilapannya itu sekurang-kurangnya boleh dijadikan contoh supaya kita semua tidak melakukan perkara sama pada masa akan datang,” katanya seperti dipetik dari BHOnline.
Baru-baru ini, stesen penyiaran Mediacorp 5 milik Temasek Holdings menerusi program 'OK Chope!' dalam episod ke-26 program itu dilihat telah mempersendakan dan menghina perdana menteri.
Aznil turut mempersoalkan berapa lama lagi masyarakat mahu menghukum selebriti dari Singapura itu sedangkan dia telah pun meminta maaf.
“Berapa lama kita harus dera dirinya? Dia buat salah dan meminta maaf, ia satu perbuatan yang sangat murni, kita pula apabila orang minta maaf, kenalah maafkan kemudian teruskan kehidupan seperti biasa.
“Kita kena didik masyarakat dengan adab yang betul supaya masing-masing boleh belajar daripadanya dan bukannya mengelirukan mereka,” katanya lagi.
Sebelum ini, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) tidak menerima permohonan maaf yang dibuat oleh stesen televisyen Singapura, Mediacorp Channel 5 dan Najip berhubung kenyataan mempersendakan perdana menteri menerusi rancangan hiburan OK Chope! di negara itu.
Presidennya, Zed Zaidi berkata, keputusan itu diambil memandangkan terdapat ahli panel lain yang masih belum meminta maaf sehingga tempoh yang diberi tamat.