Balkisyh Semundur Jangan takut ambil saya berlakon


NAMA Balkisyh Semundur Khan cukup sebati menerusi watak Saidatul atau Atul, dalam drama bersiri, Mak Cun.

Biarpun karakter itu membantu menaikkan namanya dalam industri hiburan, hakikatnya selebriti berusia 30 tahun ini ketandusan tawaran lakonan sejak tiga tahun lalu.

“Ya, memang watak Atul membawa saya ke tahap hingga dikenali. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur.

“Tapi, tanpa sedar, watak itu juga membawa kepada kejatuhan saya. Saya tak ada job,” katanya pada ketika ditemui pada pelancaran siri terbaru drama bersiri Mak Cun dan Mak Cun Mart, baru-baru ini.

Rentetan itu, katanya, ada juga yang mengatakan pelakon drama bersiri Rindu Awak 200% ini sebagai ‘anak emas’ Erma Fatima lantaran kekerapannya berlakon di bawah pengarah ternama itu.

“Saya bukan hanya berlakon di bawah arahan Erma. Tetapi, kebanyakannya cakap begitu kerana kebetulan keluar dalam drama Mak Cun, kemudian berlakon pula menerusi Akulah Balqis diikuti oleh Mak Cun 2.

“Selepas itu, apa yang saya sedar, tawaran lakonan semakin berkurangan dan ini buat saya tertanya-tanya. Mungkin ada yang berpendapat saya pelakon komedi hanya kerana watak Atul,” katanya.

Bukan itu sahaja, katanya, ada juga penerbit dan pengarah bimbang mengambilnya berlakon dan ada juga yang yang menganggapnya sudah bersara dari dunia lakonan.

“Saya masih lagi berlakon. Jangan takut ambil saya berlakon kerana Balkisyh Semundur Khan adalah pelakon versatil.

“Saya masih boleh comeback to normal apabila diberi peluang lagi untuk berubah atau bertukar watak. Saya cuma perlukan sedikit bimbingan. Insya-ALLAH.

“Saya pernah juga bertanya kepada mereka, tetapi mereka pula anggap saya yang tak mahu berlakon,” katanya.

Buka gerai tampung pendapatan

Pada masa sama, Balkisyh berpendapat trend drama bersiri yang panjang turut menjadi punca kepada kekurangan tawaran lakonan.

“Hari ini, trend drama bersiri agak panjang sehingga berpuluh-puluh episod, jadi jika nama tak terselit, untuk menunggu sesuatu produk baru yang lain memakan masa yang lama.

“Lebih sukar, apabila kita bukanlah dalam senarai nama kegemaran bagi sesebuah saluran televisyen,” katanya.

Lantaran itu, pelakon yang pernah membintangi drama Waris Kasih ini mula mencari pendapatan lain sejak dua minggu lalu iaitu mengusahakan gerai di tepi jalan di Wangsa Maju, bagi menampung kos perbelanjaan harian keluarga.

“Saya ni dah kahwin dan ada tanggungan. Saya tak boleh harapkan pendapatan berlakon semata-mata.

“Pada tahun pertama dan kedua saya masih mampu bertahan, namun selepas masuk tahun ketiga, saya perlu lakukan sesuatu bagi menampung perbelanjaan harian.

“Saya ambil keputusan untuk buka gerai di tepi jalan dan menjual nasi kukus ayam rempah dan laksa seterusnya membantu pendapatan suami.

“Alhamdulillah, walaupun baru dibuka, permintaannya sangat memberangsangkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Balkisyh bakal tampil dalam musim terbaru drama Mak Cun, jam 9 malam mulai 20 April ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post