Emma Maembong Terpaksa Dipujuk Berlakon Kimchi Untuk Awak


Aiman Hakim dan Emma Maembong peneraju utama filem Kimchi Untuk Awak.

Pengarah Michael Ang mendedahkan dia terpaksa memujuk aktres Emma Maembong untuk berlakon dalam filem pertama arahannya iaitu Kimchi Untuk Awak.

Michael menjelaskan Emma pada awalnya enggan terlibat dalam projek itu kerana karakter sebagai Bella dirasakan tidak sesuai dengan imejnya yang bertudung.

"Emma pada awalnya memang menolak selepas dia baca draf skrip pertama filem ini kerana ada banyak babak romantik yang dirasakan tidak sesuai dengannya yang bertudung.

"Saya tetap mahukan Emma dan sanggup mengubah draf skrip sebanyak beberapa kali dalam mengurangkan babak romantik dan melibatkan sentuhan," katanya kepada mStar Online.

Michael ditemui pada malam tayangan perdana filem itu yang diadakan di GSC Pavilion di sini, Selasa.


Barisan pelakon filem Kimchi Untuk Awak yang akan menemui penonton di pawagam bermula 30 Mac.

Selain Emma, Kimchi Untuk Awak yang juga adaptasi novel tulisan Suri Ryana itu turut menampilkan pelakon seperti Aiman Hakim Redza, Sharifah Sakinah, Janna Nick, Ungku Hariz, Normah Damanhuri, Natasha Elyzza dan Dira Abu Zahar.

Ia bakal menemui penonton di pawagam bermula 30 Mac ini.

Bagaimanapun kata Michael dia tidak membuang keseluruhan babak romantik kerana perlu menghormati karya asal novel itu selain memastikan babak Bella digendong Daniel (Aiman Hakim) tetap diteruskan.

Jelas Michael, babak itu adalah detik penting permulaan kisah cinta di antara dua watak utama dan sekiranya ia tidak dimasukkan akan mencacatkan keseluruhan cerita.

"Ini antara babak yang Emma enggan lakukan pada awalnya tetapi akhirnya dia bersetuju dan paling penting saya penonton tidak melihatnya dalam cara negatif.


Emma Maembong.

"Paling penting adalah lakonan dan jalan cerita naskhah ini yang ingin saya tonjolkan," katanya.

Sementara itu, Michael berkata, pada awalnya dia tidak berhasrat untuk menjadikan kisah itu sebagai filem sebaliknya drama bersiri.

Namun selepas membaca manuskripnya dia merasakan kisah Kimchi Untuk Awak lebih sesuai untuk diangkat ke layar perak.

"Memang menjadi impian saya untuk menghasilkan sebuah filem romantik komedi dan syukur diberi peluang mengarahkan Kimchi Untuk Awak.

"Ia filem yang ringan tetapi dengan rasa berbeza dan sebab itu kita membuat penggambaran di Korea Selatan selain Pulau Pinang," jelasnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post