
LAMA menghilang kerana memberi perhatian kepada keluarga, bintang filem Lenjan, Nina Juren kini kembali aktif berlakon di layar kaca.
KEMBALI aktif di kaca televisyen, Datin Nina Juren mengakui perkara tersebut dilakukan atas dasar rindu terhadap karier yang pernah melonjakkan namanya suatu ketika dahulu.
Bermula dengan drama rantaian M.A.I.D sekitar tahun lalu, lakonan Nina atau nama lengkapnya, Haznina Juren semakin menjadi pilihan penerbit drama tempatan.
Wanita jelita berusia 45 tahun itu kemudian ditawarkan membawa watak ibu dalam drama Dia Semanis Honey dan Suri Hati Mr. Pilot.
Ternyata, perhitungan Nina untuk kembali aktif merupakan langkah tepat apabila dihujani tawaran yang melimpah-ruah. Terbaharu, ibu kepada enam cahaya mata itu bakal melebarkan sayapnya ke pentas teater pula.
Dalam keterujaan beraksi di lantai teater buat julung kali, Nina yang ditemui usai pelancaran koleksi terbaharu rekaan Rico Rinaldi baru-baru ini berkongsi persiapannya menjelang teater muzikal Dia Semanis Honey Musical yang akan dipentaskan di Istana Budaya bermula 3 hingga 12 Januari depan.
KOSMO!: Boleh Nina kongsikan perkembangan terkini sekarang?
NINA JUREN: Baiklah, selepas tamat drama Suri Hati Mr. Pilot, sekarang saya baru masuk ke set latihan untuk teater Dia Semanis Honey Musical arahan Dira Abu Zahar. Buat pengetahuan, ini merupakan teater pertama saya.
Memandangkan ia merupakan teater pertama anda, boleh kongsikan cabaran dan keterujaan yang dirasai sewaktu latihan?
Pastinya saya sangat berdebar. Pernah sehingga tiga malam berturut-turut saya tidak boleh tidur kerana terlalu berdebar.
Memandangkan ini teater pertama saya, pengalamannya cukup berlainan daripada berlakon drama atau filem Mungkin disebabkan faktor usia dan daya ingatan semakin berkurangan.
Disebabkan itu, saya perlu berlatih bersungguh-sungguh kerana bukan sahaja perlu mengingat dialog tanpa boleh diulang rakaman, malah saya juga perlu menari.
Bagaimanapun, ia seronok kerana membolehkan saya mempelajari benda baharu.
Adakah anda akan menyanyi dalam teater tersebut?
Belum tahu lagi kerana saya perlu menjalani ujian vokal terlebih dahulu. Saya tidak mahu menjadi penyumbang kepada kecacatan perjalanan teater apabila penonton terpaksa mendengar nyanyian saya yang tidak sepatutnya nanti.
Saya mahu penonton gembira dengan persembahan kami kerana terdapat ramai penyanyi yang bagus dalam teater ini seperti Siti Nordiana, Alif Satar dan Dafi Ismail.
Apa yang membuatkan anda bersetuju untuk menerima tawaran berlakon teater, adakah disebabkan sudah terikat dengan drama Dia Semanis Honey atau ingin nak cabar diri?
Ya, memang salah satu sebabnya adalah kerana sudah terikat dengan drama berkenaan. Faktor kedua adalah, saya pernah bertanya kepada peminat di Instagram sama ada mereka inginkan saya berlakon dalam teater tersebut atau tidak. Rata-rata, maklum balas yang diberikan adalah positif.
Selain itu, pengarah dan pelakon-pelakon Dia Semanis Honey juga banyak memberi semangat kepada saya. Secara logiknya, tidak mungkin jika hendak menukar watak ibu dengan orang lain kerana kami sudah seperti sebuah keluarga.
Bagaimana dengan penerimaan anak-anak anda apabila melihat ibunya berlakon teater?
Sudah pasti mereka teruja dan sentiasa memberi sokongan kepada saya. Bukan itu sahaja, mereka juga sering menggalakkan agar saya menyanyi dalam teater berkenaan.
Bagaimana dengan tawaran lakonan lain?
Buat masa ini, tawaran terhadap lakonan bukan tidak ada tetapi saya perlu menolaknya kerana mahu memberi tumpuan penuh kepada persiapan latihan teater.
Mungkin anda boleh kongsikan perancangan untuk tahun hadapan?
Saya pernah berjanji dengan suami untuk berlakon dua drama sahaja dalam masa setahun. Namun, tahun ni saya sudah terima tiga tawaran, jadi saya belum mempunyai perancangan untuk tahun hadapan.
Saya perlu mempertimbangkan jika tawaran melibatkan episod yang panjang memandangkan saya ada tanggungjawab sebagai isteri.
Saya sendiri akan rasa bersalah jika perlu meninggalkan suami dan anak-anak di rumah dalam tempoh yang lama.