Puteri Sarah hamil Syamsul Yusof muntah-muntah


PUTERI SARAH dan Syamsul bakal menyambut anak sulung sekitar April nanti.

SEWAKTU menjulang trofi Pengarah Terbaik Anugerah Skrin baru-baru ini, Syamsul Yusof dengan gembira menyebut nama isterinya Puteri Sarah, bahkan turut meluahkan kesyukuran kerana jika diizinkan Allah, mereka bakal menyambut kelahiran anak lelaki sulung, sekitar tahun depan.

Ditemui pada majlis pra-tonton filem Desolasi yang bakal menjengah pawagam 8 Disember ini, Puteri Sarah turut berkongsi perkembangan sama, kehamilannya kini sudah memasuki usia lima bulan.

Mengakui Syamsul bersifat protektif semasa tiga bulan pertama kehamilannya, pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie itu berkata, dia bagaimanapun tidak mengalami sebarang alahan, sebaliknya Syamsul yang terpaksa ‘menanggung derita’ pembawaan bayi.

Sibuk menguruskan perniagaan jenama pakaian muslimah, Shara di Bangsar, Puteri Sarah atau nama lengkapnya, Puteri Sarah Liyana Megat, 30, juga sudah membuat persediaan menyambut kehadiran ahli keluarga baharunya yang dijangka lahir pada April tahun hadapan.

Wanita yang mengalami keguguran pada 2014 itu juga lebih menitikberatkan penjagaan dan keselamatan diri agar perkara sama tidak berulang. Sehingga kini, Puteri Sarah bagaimanapun bersyukur kerana segalanya berjalan dengan lancar.

KOSMO!: Bagaimana keadaan kehamilan anda sekarang?

PUTERI SARAH: Alhamdulillah. Kandungan saya sudah berusia lima bulan. Insya-Allah, bayi lelaki. Tiga bulan pertama, Syamsul larang saya buat kerja-kerja berat. Jadi saya hanya duduk di rumah sahaja. Kalau ada kerja pun, saya buat di rumah sahaja. Bagaimanapun, selepas kandungan masuk usia empat bulan, barulah dia okey sikit dan membenarkan saya ke butik di Bangsar (tertawa).

Adakah anda mengalami sebarang alahan?

Tidak banyak. Tiga bulan pertama, saya mengalami muntah-muntah tetapi tidak kerap. Itu pun tidaklah sekerap mana, hanya seminggu sekali. Syamsul pula yang lebih-lebih alahannya. Dia kerap pening-pening dan muntah-muntah.

Apakah perbezaan sebelum dan selepas anda hamil yang boleh dikongsikan?

Sebelum ini memang saya tidak gemar makanan pedas. Sejak disahkan hamil, saya teringin makanan pedas pula. Selain itu, saya cepat penat dan mudah mengantuk. Bagaimanapun, waktu tidur saya tidak tentu. Acap kali waktu orang sedang nyenyak tidur, saya masih berjaga.

Bagaimana dengan kerjaya lakonan anda sekarang?

Saya memang sudah tidak ambil sebarang tawaran berlakon. Sebelum disahkan hamil, saya ada menerima tawaran mengacara, namun sehari selepas disahkan hamil, saya diberitahu bahawa program tersebut memerlukan pengacara wanita yang mampu melakukan aktiviti ekstrem. Jadi, saya terpaksa menarik diri sebagai langkah berwaspada.

Anda pernah mengalami keguguran sebelum ini, adakah kehamilan kali ini membuatkan anda dan suami lebih berjaga-jaga?

Ya, semestinya. Sebab itu Syamsul sangat protektif semasa tiga bulan pertama kehamilan saya. Saya hanya disuruh duduk di rumah.

Bagaimana dengan persiapan menyambut kelahiran bayi setakat ini?

Hujung tahun ini, kami sekeluarga akan melancong ke Eropah. Jadi, persiapan daripada segi pakaian dan sebagainya, akan saya ‘borong’ di sana (ketawa). Syamsul juga tidak sabar untuk menyambut kehadiran seorang anak. Dia juga sangat mengambil berat tentang saya. Alhamdulillah, saya mengharapkan doa yang baik-baik daripada orang ramai.

Post a Comment

Previous Post Next Post